BEIJING – Juruteknik pertanian di China kini memanfaatkan platform video pendek untuk berkongsi maklumat berharga mengenai penyakit tanaman dan hasil tuaian, yang ternyata mendapat sambutan hangat daripada petani.
Dalam satu video yang dimuat naik di Douyin, platform video pendek popular di China, seorang ketua stesen teknologi pertanian dan pesuruhjaya sains teknologi di Daerah Fengtai, wilayah Anhui, Zhao Ya, bertanya kepada sekumpulan petani, “Adakah padi sudah disembur racun perosak?”
Zhao, yang memulakan akaun videonya pada 2018, menggunakan platform tersebut untuk mempromosikan teknologi pertanian, termasuk kaedah pencegahan penyakit dan perosak tanaman, teknik penanaman gandum dan padi, serta meningkatkan hasil tuaian.
Setakat ini, Zhao telah menghasilkan lebih 600 video pendek berdurasi satu hingga tiga minit, antaranya memberi panduan tentang waktu terbaik menyembur racun perosak dan mengingatkan petani untuk memantau perkembangan padi di ladang untuk mengawal penyakit tempat masanya. Akaunnya kini memiliki lebih 9,600 pengikut, dengan salah satu videonya mencatat hampir 100,000 tontonan.
VIDEO SEBAGAI ALAT DIGITAL BAHARU
Video pendek itu bukan sahaja berfungsi sebagai alat promosi teknologi pertanian tetapi juga menjadi ‘alat digital’ yang interaktif dan mudah diakses oleh petani.
“Video pendek sangat padat dan interaktif, membolehkan petani menonton dan belajar mengikut keperluan mereka,” kata penyelidik Institut Ekonomi dan Pembangunan Pertanian di Akademi Sains Pertanian China, Chen Yangfen.
Douyin melaporkan lebih 27.8 juta video teknologi pertanian dimuat naik ke platform itu pada 2023, dengan jumlah tontonan mencecah 120.6 bilion.
Salah seorang memanfaatkan video tersebut ialah Zuo Zhongjun, seorang petani bijirin dari Daerah Yingshang, wilayah Anhui, yang menggunakan tip daripada video Zhao pada Februari lalu untuk mengatasi masalah air bertakung semasa tempoh kehijauan gandum.
China Rural Distance Education Network turut bekerjasama dengan Douyin sejak 2022 untuk mempromosikan teknologi pertanian canggih, melibatkan 1,840 juruteknik dan 10 saintis, serta menghasilkan lebih 40,000 video.
PAKAR DALAM TEKNOLOGI DIGITAL
Seorang profesor madya di Universiti Vokasional Sains dan Teknologi Linyi, wilayah Shandong, Xu Mingju, telah memanfaatkan platform digital untuk memberikan ceramah pertanian dalam talian selama lebih 10 tahun.
Xu memenangi pertandingan video pendek teknologi pertanian pada Januari 2024, dan kini memiliki lebih 357,000 pengikut dengan 2,300 video pendek yang dihasilkan.
Dia pada mulanya menghasilkan video secara individu sebelum membentuk pasukan 10 orang, termasuk pelajar dan pensyarah, bagi menyediakan kandungan yang menggabungkan teori dan amalan untuk membantu petani menyelesaikan masalah seperti penanaman pokok buah, kawalan perosak, dan pemasaran hasil tani.
“Video pendek ini memperkenalkan pencapaian dan idea teknologi pertanian terkini kepada petani,” katanya.
Sejak melancarkan program teknologi pertanian moden pada 2020, universiti tersebut telah melatih lebih 800 pelajar. Xu berkata, sebahagian pelajarnya kini menjalankan akaun video pendek sendiri untuk berkongsi pengetahuan dan pengalaman teknologi pertanian.
Melangkah ke hadapan, Xu menekankan kepakaran dalam platform promosi baharu, termasuk platform video pendek, akan menjadi kemahiran penting bagi generasi baharu tenaga pakar pertanian. – Xinhua