Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tempoh kutipan tabung kemanusiaan dilanjutkan

    Oleh Yusrin Junaidi – 

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 JAN – Tempoh kutipan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 kini dilanjutkan selama tiga bulan lagi hingga 18 April depan.

    Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 memaklumkan pelanjutan berkenaan kelmarin, pada menjunjung titah perkenan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS), kelmarin, perlanjutan tempoh berkenaan adalah bagi memberi peluang kepada orang ramai untuk meneruskan aktiviti-aktiviti amal dan sumbangan derma kepada rakyat Palestin di Gaza.

    KKBS memaklumkan bahawa setakat 18 Januari, tabung berkenaan telah berjaya mengutip $2,370,225.43 hasil sumbangan daripada rakyat dan penduduk Negara Brunei Darussalam melalui SMS Brunei Prihatin, peti-peti tabung yang diletakkan di masjid, surau atau balai ibadat, bangunan bank, gedung perniagaan dan bangunan awam dan kerajaan serta aktiviti-aktiviti amal.

    Jawatankuasa Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023 ingin merakamkan ucapan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua penderma di negara ini atas keprihatinan dan sumbangan derma yang telah dihulurkan kepada tabung tersebut.

    Gambar AP

    Tabung berkenaan telah disediakan oleh kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia sebagai platform bagi orang ramai untuk menyumbangkan derma berbentuk kewangan bagi membantu meringankan beban serta penderitaan yang dihadapi oleh rakyat Palestin
    di Gaza.

    Orang ramai yang berhasrat untuk mengadakan kutipan derma bagi tabung berkenaan hendaklah memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Jabatan Pembangunan Masyarakat (JAPEM) selaku Urus Setia Jawatankuasa Kebangsaan Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023, jika hasil kutipan bersih (100%) disumbangkan kepada tabung berkenaan.

    Jika ada individu, persatuan dan agensi lain yang berdaftar ingin menderma sebahagian sahaja daripada hasil kutipan bersih yang diperolehi daripada mengadakan aktiviti-aktiviti yang berbentuk hiburan awam, adalah disarankan untuk memohon kebenaran terlebih dahulu daripada Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri (KHEDN).

    Selain itu, orang ramai yang berhasrat untuk memberikan sumbangan juga boleh menderma secara dalam talian melalui akaun Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), nombor akaun 00-001-01-0089051 (Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di Gaza 2023) atau melalui perkhidmatan BIBD QuickPay dengan mengimbas kod QR yang boleh didapati di poster-poster dan pelekat-pelekat (sticker) Tabung Kemanusiaan Rakyat Palestin di
    Gaza 2023.

    Peti-peti tabung juga disediakan di masjid-masjid, surau-surau dan balai ibadat, bangunan bank-bank, gedung-gedung perniagaan dan bangunan-bangunan awam di seluruh negara.

    Di samping itu, orang ramai juga boleh menghantar derma terus kepada urus setia tabung berkenaan di Bahagian Pengurusan dan Pentadbiran, Tingkat 2, JAPEM, bangunan KKBS pada waktu pejabat.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...