BANGKOK, 14 NOV – Sebuah organisasi hak asasi manusia hari ini menuduh tentera Thai menyeksa dan membunuh seorang lelaki Myanmar di sempadan antara kedua-dua negara tahun ini.
Fortify Rights berkata dalam laporan bahawa empat tentera menahan Aung Ko Ko, 37, di daerah Mae Sot, Thailand Barat pada 12 Januari lalu kerana mengenakan pakaian seragam pasukan keselamatan kampung rasmi Thailand.
Tiga daripada mereka memukul Aung Ko Ko dengan sebatang kayu panjang semasa soal siasat, meninggalkannya lebam dan berdarah sehingga dia meninggal dunia beberapa jam kemudian, kata kumpulan hak asasi itu, memetik keterangan saksi, gambar-gambar kejadian dan laporan autopsi.
“Penyeksaan dan pembunuhan Aung Ko Ko Secara kejam tidak boleh dibiarkan tanpa jawapan. Tentera yang bertanggungjawab atas kejadian ini harus dibawa ke muka pengadilan tanpa berlengah,” kata Matthew Smith, Ketua Pegawai Eksekutif Fortify Rights.
Seorang lagi warga Myanmar yang menyaksikan keganasan itu kemudiannya disabitkan dengan kesalahan membunuh akibat kecuaian berhubung kematian tersebut, menurut laporan itu.
Sirachuch, 24, yang hanya dikenali dengan satu nama, dijatuhi hukuman penjara selama tiga tahun dan empat bulan, kata Fortify Rights, mengutuknya sebagai ‘ketidakadilan yang perlu diperbetulkan’.
“Kami percaya bahawa kematian tragis Aung Ko Ko mendedahkan corak berterusan ketidakbertanggungjawaban di Thailand terhadap kekerasan yang dilakukan terhadap migran dan pelarian,” kata NGO tersebut dalam satu kenyataan. – AFP