Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Terima kasih semua!

    Oleh Syahmi Hassan
    Gambar oleh James Kon

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Ucapan penghargaan dan terima kasih ditujukan kepada semua petugas barisan hadapan, orang awam, agensi-agensi kerajaan dan swasta, badan-badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak berkepentingan atas segala pengorbanan, sokongan dan kerjasama serta bantuan dalam memerangi penularan COVID di negara ini.

    Selain itu, ucapan penghargaan juga kepada semua agensi media kerajaan dan swasta yang bertungkus lumus dan berani menghadapi apa jua situasi COVID dengan kerap turun padang mencari maklumat dan membuat laporan terkini, semata-mata untuk menyampaikan maklumat yang sahih dan tepat kepada orang ramai.

    Penghargaan tersebut disampaikan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Yang Berhormat Pehin Datu Lailaraja Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Awang Halbi bin Haji Mohd Yussof (gambar) selaku Pengerusi Bersama Jawatankuasa Pandu COVID-19 semasa Sidang Media COVID-19 Negara Brunei Darussalam yang diadakan pada hari ini, di Dewan Al-‘Afiah, Kementerian Kesihatan.

    Beliau turut mengimbas sudah hampir tiga tahun, Negara Brunei Darussalam menghadapi cabaran pandemik COVID, di mana negara dikejutkan dengan kes pertama wabak itu pada Mac 2020.

    Namun, kerajaan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam sudah merangka dan membuat persiapan awal bagi menghadapi apa jua ancaman kepada kesihatan awam termasuk wabak berkenaan.

    “Alhamdulillah, hasil kerjasama semua pihak, kita telah berjaya mengawal rantaian penularan wabak dengan pelaksanaan langkah-langkah pengawalan yang ketat sehingga kita boleh menikmati kehidupan yang seperti sebelumnya sehingga mencapai 457 hari tanpa adanya kes COVID di negara ini di antara Mei 2020 hingga Ogos 2021.

    “Kemudian sejak 7 Ogos 2021 hingga ke hari ini, Negara Brunei Darussalam terus menghadapi lonjakan tinggi kes-kes positif COVID-19 dalam pelbagai varian seperti Delta dan Omicron sehingga ternyata strategi ‘Zero-COVID’ tidak lagi praktikal, maka kita telah menukarkan strategi kepada ‘Living with COVID-19’,” kongsi Yang Berhormat Menteri di JPM.

    Menurutnya, semasa negara menghadapi gelombang-gelombang COVID tersebut, kerajaan telah melaksanakan pelbagai inisiatif dan garis panduan dalam memastikan keamanan, kesejahteraan dan keselamatan rakyat dan penduduk negara ini sentiasa terjaga.

    Di antaranya ialah Program Vaksinasi Kebangsaan bagi COVID-19, penggunaan aplikasi BruHealth, ujian RT-PCR atau ujian pantas antigen (ART), prosedur operasi standard (SOP) kesihatan, menjalani kuarantin, Operasi Pulih, pembukaan Dana COVID-19, ‘work from home’, pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian, penutupan sementara sempadan negara, serta pembukaan Jambatan Sultan Haji Omar ‘Ali Saifuddien bagi memudahkan pergerakan rakyat dan penduduk di Daerah Temburong dengan daerah-daerah lain.

    Selain itu, Rangka Kerja Pelan Pemulihan Kebangsaan COVID telah digubal dan dilaksanakan, yang antara lainnya mempunyai matlamat bagi pelaksanaan sukat-sukat peralihan yang stabil dengan gangguan yang minimum kepada aktiviti harian masyarakat, serta bagi membantu pemulihan ekonomi dan perniagaan yang terjejas akibat COVID.

    Dari aspek pendekatan ‘whole-of-government’ dan ‘whole-of-nation’ pula, Yang Berhormat Pehin menjelaskan bahawa dalam memastikan respons dalam menangani situasi gelombang COVID yang semakin meningkat ketika itu, Jawatankuasa Pandu COVID-19 telah ditubuhkan dan Pusat Penyelarasan Kebangsaan bagi COVID-19 (N3C19) telah dibentuk bagi membantu pengurusan logistik bantuan yang disediakan oleh kerajaan dan pengurusan kemudahan pusat-pusat pengasingan.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...