Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Usaha tingkatkan bidang bahan pintar

    Oleh Sim Y. H. & Ak Zaki Kasharan

    BANDAR SERI BEGAWAN, 13 FEB – Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan National University of Singapore (NUS) meningkatkan kerjasama dalam bidang penyelidikan khususnya dalam bidang bahan pintar, kecerdasan buatan dan penyelesaian mampan menerusi memorandum persefahaman (MoU) yang dimeterai semasa Kuliah Nobel Laureate dan Simposium Antarabangsa yang berlangsung di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, hari ini.

    MoU berkenaan dimeterai antara Centre for Advanced Material and Energy Sciences (CAMES), UBD yang diwakili oleh Pengarah CAMES, Dr Haji Abdul Hanif bin Dato Paduka Haji Mahadi dan Institute for Functional Intelligent Materials (I-FIM), NUS yang diwakili oleh Pengarah I-FIM, Profesor Sir Konstantin Novoselov.

    Penandatanganan MoU berkenaan telah disaksikan oleh Setiausaha Tetap (Pengajian Tinggi) di Kementerian Pendidikan, Dr Haji Azman bin Ahmad dan Naib Canselor UBD, Dr Hazri bin Haji Kifle.

    MoU tersebut akan meningkatkan lagi kerjasama antara kedua-dua buah pusat dan institut khususnya dalam bidang bahan pintar, kecerdasan buatan dan penyelesaian mampan terutamanya bagi aplikasinya dalam industri di Brunei.

    Terdahulu sebelum penandatanganan MoU berkenaan, Profesor Sir Novoselov telah menyampaikan kuliah bertajuk Sustainability for Everyone di mana beliau membincangkan pentingnya penyelidikan bahan maju untuk menangani isu-isu bagi mencapai kemampanan.

    Dr Haji Azman, Dr Hazri, Dr Haji Abdul Hanif dan Profesor Sir Novoselov bergambar ramai selepas majlis penandatanganan MoU antara UBD dan NUS di Pusat Kesenian Pro Canselor, UBD, kelmarin.
    Profesor Sir Novoselov semasa menyampaikan kuliahnya bertajuk Sustainability for Everyone.

    Beliau seterusnya berkata bahawa penemuan bahan-bahan baharu akan dapat memacu teknologi seperti rawatan air bagi penghasilan air bersih serta penghasilan dan penyimpanan tenaga hijau.

    Profesor Sir Novoselov juga memperkenalkan konsep bahan pintar berfungsi iaitu bahan yang mempunyai keupayaan untuk melaksanakan fungsi yang tertentu dan turut dapat diprogram bagi memberikan tindak balas kepada rangsangan luar.

    Bahan-bahan berkenaan juga mempunyai keupayaan untuk berubah bentuk atau pulih sendiri dan mempunyai aplikasi yang tanpa had daripada tenaga hidrogen hijau kepada penghantaran ubat pintar.

    Di samping itu, beliau juga menerangkan mengenai perkembangan dalam bidang model pengkomputeran dan kecerdasan buatan di mana ia boleh digunakan untuk mempercepatkan dan mengoptimumkan penemuan serta penyelidikan bahan.

    Profesor Sir Novoselov dikenali ramai sebagai penyelidik yang berjaya untuk mengasingkan graphene di mana beliau telah dianugerahkan Hadiah Nobel dalam bidang Fizik pada 2010.

    Pada masa ini, beliau merupakan Pengarah bagi I-FIM dan merupakan profesor di Department of Material Science and Engineering, NUS.

    Sementara itu, pada sebelah petang, simposium menyaksikan beberapa siri kuliah yang disampaikan sebagai platform untuk perkongsian pengetahuan dan perbincangan mengenai kerjasama penyelidikan antara ahli akademik, kerajaan dan sektor industri.

    Ini akan menggalakkan kerjasama quadruple helix yang melibatkan sektor awam, universiti, industri dan komuniti untuk menangani matlamat bersama bagi pembangunan mampan.

    Enam topik kuliah telah disampaikan oleh tiga pakar penyelidikan dari I-FIM NUS dan tiga dari CAMES UBD.

    Simposium turut dihadiri 10 penyelidik dari NUS, dengan pelbagai kepakaran penyelidikan yang terdiri daripada kimia, material dan kecerdasan buatan.

    Tiga pakar dari I-FIM NUS yang menyampaikan kuliah ialah Profesor Andrey Ustyuzhanin yang merupakan Pengarah Penyelidikan AI / Machine Learning (ML), Acroni; Profesor Madya Dr Daria Andreeva dan Profesor Madya Dr Jiong Lu.

    Pakar-pakar dari UBD pula ialah Dr Hasliza Bahruji dan Dr Lim Ren Chong, kedua-duanya dari CAMES UBD, manakala itu Dr Owais Malik dari School of Digital Science, UBD.

     

    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...