Penyanyi Billie Eilish mengejutkan 111 juta pengikutnya di Instagram apabila menyenaraikan mereka dalam senarai ‘close friend’.
Billie dipercayai tersalah tekan butang pada aplikasi tersebut ketika berkongsi hantaran foto tangan di bawah langit tanpa sebarang kapsyen, lapor mStar.
Rata-rata peminat yang termasuk dalam senarai itu meluahkan rasa teruja dan merasakan mereka istimewa apabila dianggap sebagai teman rapat penyanyi itu.
“Agaknya begini rasanya apabila Billie secara peribadi meletakkan saya dalam senarai kawan rapatnya.
“Ibu saya sewaktu hadir majlis perkahwinan saya: ‘Kenapa Billie Eilish ada di sini? Saya: Itu kawan rapat saya.’
“Rasa bertuah sangat apabila masuk ke dalam senarai close friend Billie,” komen warganet.
Bagaimanapun, penyanyi lagu What Was I Made For itu menyedari kesilapan dilakukan dan mengubah senarai close friend di Instagram.
Tetapan close friend merupakan pilihan membolehkan individu tertentu mendapat akses perkongsian dibuat di Instastory. – Agensi