Monday, July 1, 2024
22.3 C
Brunei

    -

    Terumbu karang Malaysia alami kelunturan besar-besaran

    KUALA LUMPUR, 23 JUN – Terumbu karang di negara ini sedang mengalami isu kelunturan besar-besaran akibat peningkatan suhu permukaan laut yang boleh memberi implikasi serius terhadap biodiversiti marin, perikanan terumbu karang dan pelancongan di Malaysia

    Jabatan Perikanan Malaysia (DOF) dalam kenyataan hari ini memaklumkan perkara itu dikenal pasti melalui bantuan dan laporan diterima daripada badan bukan kerajaan (NGO) tempatan, operator selam skuba dan penyelam skuba serta pemantauan kelunturan karang yang dijalankan NGO dan penyelidik tempatan.

    DOF juga sedang memantau rapi beberapa tapak Kepulauan Taman Laut susulan lebih 50 peratus terumbu karang terjejas dan berdasarkan tinjauan dijalankan dari April hingga Jun, antara kawasan itu ialah Pulau Payar, Kedah; Pulau Perhentian, Pulau Redang dan Pulau Tenggol di Terengganu; Pulau Tioman, Pahang dan Pulau Pemanggil, Johor.

    “Kebanyakan terumbu yang terjejas berada di perairan cetek kurang 10 meter. Tapak ini sedang dipantau rapi oleh DOF dan pelbagai pihak untuk mengesan perubahan dalam situasi kelunturan,” menurut kenyataan itu.

    Kelunturan karang adalah tindak balas semula jadi karang terhadap tekanan alam sekitar sehingga menyebabkan batu karang menjadi putih manakala kelunturan secara besar-besaran merujuk kepada kelunturan berskala besar pelbagai spesies batu karang di kawasan luas disebabkan kenaikan suhu air laut melebihi paras purata normal suhu tahunan dalam tempoh berpanjangan.

    Mengenai tindak balas menangani perkara itu, DOF bekerjasama dengan wakil dari Sabah dan Sarawak serta penyelidik tempatan dan NGO untuk menubuhkan Malaysia Coral Bleaching Response Committee (MCBRC) bagi mengumpul maklumat dan mengambil tindakan terhadap kelunturan karang.

    “Jika kelunturan melebihi 80 peratus, tindakan intervensi lanjut pengurusan mungkin termasuk sekatan akses sementara untuk melindungi terumbu yang terjejas.

    “Bagaimanapun, DOF memberi jaminan kepada semua pihak berkepentingan bahawa seboleh-bolehnya, gangguan kepada aktiviti pelancongan yang disebabkan oleh intervensi pengurusan ini akan diminimumkan,” menurut kenyataan itu.

    Menurut DOF, ia untuk mengurangkan tekanan yang disebabkan oleh terumbu yang sudah lemah  bagi memastikan kelangsungan hidup organisma marin pada masa depan. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    China keluarkan amaran merah susulan hujan lebat

    BEIJING, 30 JUN - China telah mengeluarkan amaran tahap merah berikutan hujan lebat yang melanda negara itu, kelmarin. Ia juga memberi amaran tentang kemungkinan bencana...