BANGKOK, 19 Jun – Industri pelancongan Thailand menyaksikan kejatuhan kedatangan pelancong Eropah, khususnya dari Rusia berikutan berlangsungnya temasya sukan Piala Dunia FIFA 2018, lapor agensi berita Thailand (TNA).
Setiausaha Tetap Kementerian Pelancongan dan Sukan, Phongpanu Svetarundra mendedahkan pada Mei Thailand mencatatkan seramai 2.75 juta pelancong asing, daripada jumlah itu sebanyak 2.04 juta adalah pelawat dari negara Asia Timur diikuti Asia Selatan, Amerika-Oceania dan Timur Tengah.
Berikutan kekurangan pelancong Rusia, angka pertumbuhan pelancong meningkat hanya 6.35 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Kementerian menjangkakan jumlah itu akan meningkat selepas berakhirnya Piala Dunia.
Bagaimanapun, bilangan pelancong bagi tempoh lima bulan pertama tahun ini mencatatkan sejumlah 16.45 juta orang, yang menjana pendapatan sebanyak 867 bilion baht.
Pada April, khususnya, terdapat pertumbuhan memberangsangkan iaitu seramai 14.41 juta pelancong yang mewakili peningkatan sebanyak 5.34 peratus.
Ia secara tidak langsung menyumbang kepada kenaikan 9.77 peratus dalam hasil pelancongan iaitu sebanyak 89 bilion baht berbanding tempoh sama tahun lepas. – Bernama