BANGKOK, 20 JAN – Pihak berkuasa Thailand berjaya merampas lebih daripada satu setengah tan methamphetamine kristal dalam serbuan dadah terbesar dalam sejarah negara itu, menurut pegawai kanan Agensi Kawalan Narkotik, hari ini.
Dadah tersebut yang dikatakan dihantar dari Afrika melalui India dan dirancang untuk dihantar ke Eropah, Amerika Syarikat atau Australia, ditemukan di sebuah gudang di Bangkok hasil maklumat daripada pihak awam.
Manakala empat lelaki turut ditahan di lokasi kejadian. Menurut Phanurat Lukboon, Setiausaha Agung Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik, dadah seberat kira-kira 1.65 tan itu disembunyikan dalam gulungan kapas di gudang tersebut.
“Ini adalah kali pertama kami merampas sejumlah besar methamphetamine seperti ini,” kata Phanurat kepada AFP.
Pihak berkuasa enggan menganggarkan nilai rampasan, tetapi pada Mei tahun lalu, satu tan methamphetamine kristal yang dirampas dianggarkan bernilai AS$25 juta.
Thailand merupakan laluan transit utama untuk dadah haram yang dihasilkan di kawasan ‘Golden Triangle’ iaitu sempadan utara Thailand, Laos dan Myanmar.
Methamphetamine biasanya diambil dalam dua bentuk iaitu kristal (ice) atau tablet yang kurang tulen dikenali sebagai ‘yaba’, lebih banyak digunakan di Thailand.
Myanmar kekal sebagai sumber utama methamphetamine, kebanyakannya dihasilkan di makmal haram di kawasan sempadan yang dikuasai kumpulan bersenjata etnik minoriti.
Menurut laporan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu, jumlah rampasan methamphetamine di Asia Timur dan Tenggara mencatat rekod tertinggi pada 2023 berikutan peningkatan pengeluaran oleh kumpulan jenayah terancang. – AFP