Friday, September 20, 2024
23.1 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thailand lulus pelaburan hasilkan penyaman udara pintar

    KUALA LUMPUR, 19 SEPT – Thailand meluluskan pelaburan 13.5 bilion baht (AS$400 juta) oleh Haier Appliance Manufacture (Thailand) Co Ltd untuk membina kilang yang akan menghasilkan enam juta penyaman udara pintar setiap tahun.

    Dalam satu kenyataan hari ini, Lembaga Pelaburan Thailand (BOI) mengumumkan bahawa ia meluluskan permohonan promosi pelaburan daripada Haier Appliance Manufacture (Thailand) Co Ltd, sebuah unit di bawah Haier Smart Home Co, Ltd China, untuk menubuhkan kilang di wilayah Chonburi, timur Thailand.

    BOI menyatakan kilang itu akan menggaji 3,250 pekerja dan mempunyai kapasiti pengeluaran sekitar 3 juta penyaman udara pintar dan 3 juta penyaman udara split pintar.

    Setiausaha Agung BOI, Narit Therdsteerasukdi berkata projek itu menunjukkan daya tarikan Thailand sebagai hab pembuatan peralatan elektrik pintar dan elektronik oleh syarikat global utama.

    “Kilang ini akan menjual kira-kira 85 peratus daripada hasil pengeluarannya di pasaran luar negara, yang dijangka meningkatkan eksport Thailand sebanyak 32 bilion baht setiap tahun,” katanya dalam kenyataan itu.

    BOI berkata pelaburan itu termasuk kos tanah dan modal kerja, dilakukan melalui unit Haier di Singapura.

    Penyaman udara pintar mempunyai sistem operasi dan komponen elektronik terbenam yang boleh mengesan dan menerima maklumat serta boleh dikawal dari jauh melalui telefon mudah alih.

    Sementara itu, BOI melaporkan bahawa ia meluluskan projek pembuatan elektronik pintar bernilai gabungan 82.2 bilion baht dari Januari 2023 hingga Jun tahun ini. Projek itu melibatkan syarikat seperti Samsung, Midea, Inventec dan Sony. – Bernama

    Gambar Envato
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda