Monday, January 6, 2025
23.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Thaksin dijatuhi hukuman penjara lapan tahun

    BANGKOK, 22 OGOS – Mahkamah Agung Thailand hari ini menjatuhkan hukuman penjara lapan tahun ke atas Thaksin Shinawatra sekembalinya bekas perdana menteri itu ke negara ini selepas 15 tahun hidup dalam buangan. 

    Dalam satu kenyataan, Mahkamah Agung berkata hukuman itu dijatuhkan tanpa kehadiran Thaksin.

    Thaksin dijatuhi hukuman penjara tiga tahun kerana meluluskan pinjaman daripada Export-Import Bank of Thailand (EXIM Bank) kepada kerajaan Myanmar untuk projek telekomunikasi.

    Dia turut dijatuhkan hukuman penjara dua tahun untuk kes berkaitan keputusan skim loteri kerajaan dan lima tahun penjara kerana mengubah kontrak bagi syarikatnya, SHIN Corp, dengan niat untuk memberi kelebihan kepada syarikat itu.

    Hukuman dikurangkan kepada lapan tahun kerana dijalankan serentak.

    Thaksin Shinawatra dijatuhkan hukuman penjara lapan tahun sekembalinya bekas perdana menteri itu ke negara ini selepas 15 tahun hidup dalam buangan.- AFP

    Thaksin, 74, kemudian telah dibawa ke Penjara Reman Bangkok.

    Sementara itu, sekumpulan penyokong Thaksin berkumpul di luar pekarangan penjara untuk melihat bekas perdana menteri itu.

    Terdahulu, Thaksin yang kembali  menjejakkan kaki di Thailand buat kali pertama sejak 2008, tiba di terminal jet peribadi Lapangan Terbang Antarabangsa Don Muang kira-kira 9 pagi (waktu tempatan).

    Anak perempuannya, Paetongtarn, yang juga seorang daripada tiga calon perdana menteri dari Parti Pheu Thai memuat naik gambar Thaksin  bersama ahli keluarganya dan tujuh cucunya di laman sosial Facebook.

    “Selamat kembali ke Thailand ayah. “Bapa telah kembali ke Thailand dan telah menjalani proses undang-undang yang sepatutnya,” tulisnya.

    Kepulangan Thaksin bertepatan dengan pengundian untuk memilih perdana menteri baharu hari ini, tiga bulan selepas Pilihan Raya Umum 14 Mei.

    Parti Pheu Thai, sebuah parti yang dikatakan mempunyai kaitan dengan Thaksin, mengetuai gabungan 11 parti, termasuk dua parti yang disokong oleh tentera dalam usaha untuk membentuk kerajaan dan menamatkan kemelut politik. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda