Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tiada kes cacar monyet baharu dilaporkan di Thailand

    BANGKOK, 25 JULAI – Tiada kes cacar monyet baharu dilaporkan di Thailand sejak kes pertama dikesan di negara itu minggu lepas.

    Ketua Kesihatan Wilayah Phuket, Dr Kusak Kukiattikoon berkata seramai 14 individu yang dianggap berisiko tinggi kerana merupakan kontak rapat dengan pesakit pertama negara itu, disahkan negatif ujian saringan cacar monyet.

    “Keputusan untuk tujuh individu yang lain dijangka diperoleh dalam masa satu atau dua hari,” katanya.

    Beliau menambah bahawa pihak berkuasa kesihatan awam sedang mempergiat pengesanan kes aktif selepas seorang warga Nigeria berusia 27 tahun, yang telah tinggal lebih tempoh visanya di Thailand, disahkan menghidap cacar monyet di bandar peranginan Phuket pada 18 Julai.

    Bagaimanapun, lelaki itu menghilangkan diri sebaik dimaklumkan keputusan positif saringannya. Dia berjaya ditemukan di Phnom Penh, Kemboja pada Sabtu dan dibawa ke hospital untuk rawatan.

    Sementara itu, Perdana Menteri Thailand Prayuth Chan o-cha telah mengarahkan Kementerian Kesihatan Awam dan agensi berkaitan untuk menyediakan pelan tindakan bagi menguruskan risiko cacar monyet di negara itu.

    Jurucakap Kerajaan Thanakorn Wangboonkongchana berkata Prayuth telah mengarahkan pejabat imigresen untuk mempertingkatkan pengawasan di pintu masuk negara terutama untuk pelancong dari negara berisiko tinggi. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...