Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Tidak cuaikan ibadat kunci kejayaan berdepan ujian

    Oleh Salawati Haji Yahya
    Gambar oleh Infofoto & Bahiyah Bakir

    BANDAR SERI BEGAWAN, 19 FEB – Kemampuan negara dalam berdepan dengan ujian wabak COVID dan pelbagai varian adalah disebabkan kita tidak pernah mencuaikan ibadat kepada Allah.

    Ibadat tersebut bukan sahaja ibadat khusus seperti sembahyang, malah ia merangkumi segala amal kebajikan, termasuk mematuhi segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya.

    Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah, Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam menekankan perkara itu dalam titah sempena Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara Tahun 1444 Hijrah yang berlangsung di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, kelmarin.

    Baginda seterusnya bertitah, dengan ikrar yang diucapkan setiap hari dalam doa iftitah yang berasal dari Surah Al-An’am ayat 162 itu, merupakan kunci kejayaan orang-orang beriman.

    “Apabila kita menyandarkan semua amal perbuatan kita semata-mata kerana Allah, maka Allah menyediakan jalan terbaik untuk kita,” titah Baginda.

    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah berkenan berangkat ke Majlis Sambutan Israk dan Mikraj Peringkat Negara di Pusat Persidangan Antarabangsa, Berakas, baru-baru ini. Turut berangkat ialah DYTM Paduka Seri Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Malik dan DYTM Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen.
    KDYMM Paduka Seri Baginda Sultan Haji Hassanal Bolkiah Mu’izzaddin Waddaulah semasa berkenan mengurniakan titah.

    Baginda seterusnya menegaskan, cara untuk menyandarkan semua amal perbuatan kepada Allah itu adalah dengan memastikan semua amal perbuatan itu adalah berstatus takwa.

    Jika amalan itu dilakukan dengan takwa maka Allah berjanji akan menyediakan jalan keluar daripada segala perkara yang menyusahkan seperti firmanNya dalam Surah At-Talaq ayat 2 hingga 3, serta akan dianugerahkan rezeki dari jalan yang tidak terlintas.

    “Janji Allah ini amat benar dan ia satu perkara besar untuk direbut, dan sesiapa yang meraihnya tidak diragukan lagi akan beroleh kehidupan yang bahagia, dan bukankah segala kebaikan akan berpihak kepadanya dan segala yang menyusahkan pula akan berundur daripadanya,” titah Baginda.

    Namun dalam pada itu, tegas Baginda, tingkat kehidupan juga tidak terlepas daripada menerima ujian, tetapi ujian bukanlah denda, malah berita gembira bagi hamba yang beriman.

    Kita mestilah sabar dalam menghadapi ujian dan orang yang sabar itu pasti akan menerima berita gembira berupa ganjaran pahala dan nikmat dari Allah SWT.

    Dalam titah Baginda menyatakan, sabar ertinya teguh dan cekal hati, tidak mudah tersungkur atau mengalah, tetapi terus bangkit berusaha sambil mengambil iktibar daripada musibah yang menimpa.

    “Kesabaran tidak akan wujud, melainkan hanya berlaku di kalangan orang-orang yang beriman sahaja, yang sentiasa mendekatkan diri kepada Allah dengan ibadat, terutama dengan ibadat sembahyang,” tekan Baginda lagi. Ibadat sembahyang merupakan pemangkin segala kesempurnaan.

    Baginda menekankan, hanya Allah satu-satuNya sahaja yang wajib disembah.

    “Dan umat yang menyembah Allah pula telah dicanang sebagai umat terbaik menurut Al-Quran.

    Bukan setakat itu, titah Baginda, segala perkara yang baik-baik dan bermanfaat, semuanya terdapat dalam Al-Quran dan ini mungkin telah menyebabkan ada pihak yang tidak senang dan malah marah terhadap Al-Quran, lalu bertindak membakar atau mengoyak Al-Quran.

    “Kita tegaskan, bahawa Al-Quran merupakan Kitab Samawi yang datang langsung daripada Allah, ia bukan dikarang oleh Nabi Muhammad SAW atau oleh siapa sahaja,” titah Baginda.

    Oleh itu, titah Baginda, perhitungan terhadap sebarang provokatif ke atasnya, kita orang-orang Islam lebih menyerahkan perkara itu kepada siapa pemilik kitab sendiri, iaitu Allah SWT.

     

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...