BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OKT – Pekerja tidak memakai peralatan pelindungan diri (PPE) yang lengkap adalah antara kesalahan yang dikesan dalam pemeriksaan berjadual yang dijalankan oleh Jabatan Pengangkutan Darat (JPD), Kementerian Pengangkutan dan Infokomunikasi bersama agensi-agensi yang berkenaan ke atas beberapa buah bengkel kenderaan di kawasan Daerah Brunei dan Muara.
Kesalahan lain adalah seperti tempat mengecat kenderaan tidak mempunyai sistem pengudaraan yang teratur, penyimpanan peralatan untuk pembaikan kenderaan tidak kemas, kenderaan-kenderaan diletakkan di tempat pejalan kaki, tempat kawasan letak kereta dijadikan tempat membaiki kenderaan dan melakukan kerja pembaikan kenderaan dengan cara yang tidak selamat, menurut kenyataan JPD.
Sembilan buah bengkel kenderaan telah diperiksa semasa pemeriksaan tidak berjadual kali ini yang turut disertai oleh Unit Sukatan dan Timbangan; Kementerian Kewangan dan Ekonomi; Jabatan Bomba dan Penyelamat, Jabatan Daerah Brunei dan Muara; Kementerian Hal Ehwal Dalam Negeri; Pihak Berkuasa Kawalan Bangunan dan Industri Pembinaan (ABCi); Jabatan Perancang Bandar dan Desa dan Jabatan Alam Sekitar; Kementerian Kesihatan; dan Authoriti Kebangsaan bagi Keselamatan, Kesihatan dan Alam Sekitar (SHENA).
Berikutan kesalahan-kesalahan yang telah didapati semasa pemeriksaan tidak berjadual itu, pihak JPD dan agensi-agensi tersebut akan mengambil tindakan-tindakan lanjut terhadap bengkel-bengkel kenderaan yang melakukan kesalahan.
Selain dari itu, pihak JPD dan agensi-agensi telah menasihatkan pemilik-pemilik bengkel untuk mengambil tindakan penambah baikkan dan pada masa menyarankan pemilik-pemilik bengkel untuk mendaftar secara teratur dengan pihak JPD melalui proses pengiktirafan bengkel kelas A, B atau C. Agensi-agensi berkenaan juga akan mengambil tindakan mengikut bidang-kuasa masing-masing.
JPD dalam kenyataannya turut ingin menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berwaspada dan bijak dalam mendapatkan perkhidmatan membaik-pulih, servis dan kerja-kerja mekanikal dan elektrik kenderaan daripada bengkel-bengkel yang diiktiraf oleh JPD sahaja.
Selain dari itu, pemilik-pemilik bengkel adalah dimestikan untuk mendaftar melalui skim pengiktirafan bengkel kenderaan daripada JPD.
Sebarang maklumat lanjut, orang ramai bolehlah menghubungi JPD di talian 2451979/80/87 sambungan 111 pada waktu pejabat atau e-mel info_ltd@jpd.gov.bn atau awvis@jpd.gov.bn atau menghubungi Talian Darussalam 123 atau melayari laman sesawang Talian Darussalam www.123.gov.bn.