Friday, April 25, 2025
25.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tiga angkasawan China berlepas ke Stesen Tiangong

    JIUQUAN, 24 APRIL – Sebuah roket China yang membawa tiga angkasawan ke Stesen Angkasa Tiangong telah berjaya dilancarkan hari ini, menandakan satu lagi pencapaian penting dalam usaha Beijing untuk menjadi kuasa utama dalam penerokaan angkasa lepas.

    Pelancaran misi Shenzhou-20 dari Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China itu adalah sebahagian daripada impian angkasa lepas negara itu yang digelar oleh Presiden Xi Jinping sebagai ‘impian angkasa rakyat China’.

    China, yang merupakan ekonomi kedua terbesar dunia, telah membelanjakan berbilion dolar bagi mengukuhkan program angkasanya, termasuk rancangan menghantar misi berawak ke bulan menjelang akhir dekad ini dan akhirnya membina pangkalan di permukaan bulan.

    Roket Long March-2F dilaporkan berlepas tepat pada waktunya, disaksikan oleh wartawan AFP, dengan api dan asap tebal menyelubungi udara ketika ia meninggalkan tapak pelancaran menuju ke orbit untuk memulakan misi selama enam bulan.

    Pemimpin kru kali ini ialah Chen Dong, 46, bekas juruterbang pejuang dan angkasawan berpengalaman yang pernah mencipta sejarah pada tahun 2022 sebagai angkasawan China pertama dengan lebih 200 hari berada di orbit.

    Dua lagi anggota kru ialah Chen Zhongrui, 40, bekas juruterbang tentera udara dan Wang Jie, 35, bekas jurutera teknologi angkasa kedua-duanya melakukan penerbangan angkasa pertama mereka.

    Sepanjang misi di Tiangong, kru akan menjalankan eksperimen fizik dan sains hayat, selain memasang peralatan perlindungan daripada serpihan angkasa. Buat pertama kalinya, mereka juga akan membawa planaria, sejenis cacing pipih akuatik yang terkenal kerana keupayaan regeneratifnya.

    Mereka turut dijadual melaksanakan aktiviti berjalan di angkasa, menambah bekalan, serta menjalankan penyelenggaraan rutin ke atas stesen tersebut.

    Tiga angkasawan yang kini berada di Stesen Tiangong dijangka akan pulang ke bumi pada 29 April selepas proses penyerahan tugas diselesaikan. – AFP

    Angkasawan China Chen Dong (tengah), Chen Zhongrui dan Wang Jie menghadiri majlis pelepasan di Pusat Pelancaran Satelit Jiuquan di barat laut China kelmarin. – Xinhua
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda