PARIS, 10 MAC – Tiga bekas eksekutif kanan syarikat permainan video gergasi Perancis, Ubisoft, dibicarakan hari ini atas tuduhan melakukan gangguan psikologi dan seksual terhadap pekerja selama hampir sedekad.
Kes berprofil tinggi itu mencerminkan kebimbangan global mengenai layanan terhadap wanita dan golongan minoriti dalam industri permainan video, baik dari segi kandungan permainan mahupun budaya kerja dalaman.
Pada tahun 2020, Ubisoft melancarkan siasatan dalaman selepas beberapa kakitangannya mendedahkan budaya kerja toksik serta kelakuan pemangsa oleh pengurus atasan menerusi media sosial. Akibatnya, beberapa eksekutif tertinggi meletakkan jawatan atau dipecat.
Mereka termasuk Serge Hascoet, bekas Ketua Pegawai Kreatif yang juga orang kedua terpenting dalam syarikat, serta Thomas Francois, Naib Presiden Editorial dan Perkhidmatan Kreatif dan Guillaume Patrux, seorang lagi eksekutif kanan.
Francois menghadapi tuduhan paling serius, dengan beberapa saksi mendakwa beliau kerap menonton filem lucah di pejabat terbuka dan mengeluarkan komen menghina mengenai penampilan pekerja wanita. Beliau juga dituduh melakukan penghinaan serta membuli kakitangan secara terbuka hampir setiap hari.
Ketiga-tiga bekas eksekutif itu menafikan semua tuduhan yang dikenakan ke atas mereka. – AFP
