INDONESIA, 13 APRIL – Seorang remaja di Indonesia menikam kakaknya sehingga mati kerana berang gara-gara sebungkus mi segera.
Kejadian berlaku di daerah Lalan, Sumatera Selatan, pada 8 April lalu apabila remaja berusia 15 tahun itu membeli sebungkus mi segera dari kedai berhampiran untuk berbuka puasa.
Polis tempatan berkata, kakaknya yang berusia 27 tahun berang apa-bila mengetahui remaja itu, yang dikenali dengan nama singkatan AL, hanya membeli satu paket.
Akibatnya, si kakak dengan singkatan R, menampar AL dan memicit pipinya kerana marah, kata ketua polis Lalan, Hasurungan Hutajulu pada Isnin.
Berang, AL menikam R di perut, lapor portal berita Kompas.com.
“Pelaku, yang sedang menghiris bawang dan kangkung dengan pisau di dapur, secara spontan menikam perut mangsa,” kata Hutajulu.
Ahli keluarga segera membawa si kakak yang cedera ke klinik berhampiran, namun mangsa meninggal dunia tidak lama kemudian.
Polis berkata mereka telah merampas pisau yang digunakan dalam kejadian itu. Remaja berkenaan ditahan di balai polis. – ANN/The Straits Times