Thursday, April 25, 2024
27.9 C
Brunei

    -

    Tim Cook setuju potong gaji lebih 40 peratus

    CALIFORNIA, 15 JAN – Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Apple, Tim Cook akan mengambil lebih daripada 40 peratus pemotongan gaji pada tahun ini, setahun lebih awal setelah syarikat menyelaraskan semula cara pengiraan pembayaran yang sebahagian daripadanya dicadangkan oleh Cook sendiri.

    Menurut syarikat Apple baru-baru ini, jumlah pembayaran Cook ialah AS$49 juta untuk tahun 2023, dengan gaji AS$3 juta, insentif tunai AS$6 juta dan ekuiti AS$40 juta.

    Pada Mac tahun lalu di Cupertino, California, syarikat telah mengadakan undian pemegang saham mengenai gaji eksekutif dengan 6.21 bilion saham mengundi memihak kepada pakej gaji eksekutif manakala 3.44 bilion menentang. Terdapat juga undian berkecuali dan broker yang tidak mengundi.

    Apple berkata, jawatankuasa pembayaran mengambil kira maklum balas pemegang saham, prestasi syarikat dan cadangan daripada Cook, yang telah dinaikkan pangkat menjadi ketua pegawai eksekutif pada 2011, untuk menyelaraskan pembayarannya berdasarkan maklum balas yang diterima.

    Menurut Apple, tahun lalu ia meminta maklum balas daripada pemegang saham mengenai pembayaran dan menerima sokongan yang memberangsangkan terhadap kepimpinan luar biasa Cook dan nilai yang telah beliau berikan kepada para pemegang saham.

    “Sementara itu, para pemegang saham yang tidak menyokong cadangan Say on Pay 2022 kami menyatakan saiz dan struktur anugerah ekuiti 2021 dan 2022 yang diberikan kepada Cook sebagai sebab utama keputusan pengundian mereka,” menurut syarikat itu. – AP

    Gambar fail bertarikh 6 Disember 2022 menunjukkan Cook bercakap di depan fasiliti baharu Syarikat Pembuatan Semikonduktor Taiwan (TSMC) yang sedang dalam pembinaan di Phoenix. – AP
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gangguan bekalan elektrik, pelepasan air terawat Fukushima digantung

    TOKYO, 24 APRIL - Pelepasan air sisa terawat ke lautan dari loji nuklear Fukushima yang rosak telah digantung hari ini berikutan gangguan bekalan elektrik...