Saya terbaca mengenai surat pembaca bertajuk Sediakan tong sampah mencukupi dan pantau kebersihan kawasan oleh Orang awam yang disiarkan dalam Media Permata bertarikh 20 Julai lalu.
Saya bersetuju dengan pandangan penulis mengenai isu kebersihan di gerai-gerai perayaan dan beberapa buah kawasan di ibu kota.
Baru-baru ini saya berkesempatan untuk mengunjungi gerai perayaan yang membuatkan saya sebagai orang awam amat hampa.
Ini kerana semasa kunjungan ke sana, saya mendapati rata-rata kawasan gerai jualan di kawasan Taman Haji Sir Muda Omar ‘Ali Saifuddien dan berhadapan Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja kurang menitikberatkan isu kebersihan.
Hasil tinjauan, sesetengah peniaga khususnya mereka yang menjual minuman kurang mementingkan kebersihan tempat menyimpan ais di mana dibiarkan diletakkan di atas jalan raya sehingga mencair dan membasahi laluan.
Malah para peniaga juga kurang memantau barang jualan seperti makanan yang dibiarkan terdedah dihinggap lalat dan apa yang menyedihkan lagi seperti yang saya alami sendiri, makanan dibeli sudah basi, berkemungkinan peniaga menjual makanan dan minuman secara berulang.
Apa yang menarik perhatian saya, kawasan-kawasan berdekatan juga kurang dititikberatkan oleh pihak relevan kerana membiarkan kawasan kotor tanpa dibersihkan dengan segera sehingga menimbulkan bau yang kurang menyenangkan. Semasa perjalanan menuju ke gerai perayaan berhadapan Muzium Alat-alat Kebesaran Diraja, saya mendapati kawasan Lapau seolah-olah dibiarkan kotor dan tiada sebarang penyelenggaraan daripada pihak relevan. Bukankah kawasan itu merupakan kawasan bersejarah kita yang perlu dijaga dengan sebaiknya.
Isu kebersihan ini janganlah dipandang ringan, keselesaan orang awam merupakan antara perkara utama yang perlu dititikberatkan. Para peniaga perlu menitikberatkan isu kebersihan dari segi barang jualan dan jangan asal mendapat keuntungan.
Begitu itu juga seperti mana pandangan penulis (Orang awam) perlu sentiasa memantau kebersihan kawasan gerai-gerai perayaan dengan mengerahkan beberapa tukang bersih bagi memastikan kawasan dalam keadaan bersih dan mencegah mengundang haiwan-haiwan perosak.
Di samping itu juga, orang awam juga perlu menjalankan tanggung jawab masing-masing dalam sama-sama memastikan kebersihan dengan memastikan membuang sampah di tong-tong sampah yang disediakan dan jangan membiarkan bekas-bekas makanan dan minuman bersepah di mana-mana.
Haji Suhaili