Oleh Sim Y. H.
BANDAR SERI BEGAWAN, 11 JAN – Dalam usaha untuk melahirkan graduan sedia industri kewangan, Institut Kepimpinan dan Kewangan Islam Brunei (BILIF), baru-baru ini melancarkan Skim Perantisan Pembangunan Graduan (GrADS) di Bangunan ILIA, Universiti Brunei Darussalam.
Menurut kenyataan yang dikeluarkan oleh BILIF, di sini, skim dilancarkan pada 6 Januari itu merupakan salah satu inisiatif tanggungjawab sosial korporat di bawah Program Pengayaan BILIF.
Program pengayaan itu bermatlamat mengembangkan pengetahuan dan kemahiran para pencari kerja serta graduan dengan menyediakan program-program latihan yang menyeluruh dan selaras dengan keperluan industri kewangan masa kini.
Pada majlis pelancaran itu, Ketua Pegawai Eksekutif BILIF, Hajah Sufinah binti Haji Sahat dalam kata alu-aluannya menekankan kepentingan Skim GrADS untuk mewujudkan calon yang sedia bekerja dan mereka yang mampu memberikan nilai kepada industri kewangan.
Seramai 18 orang pencari kerja telah menyertai skim tersebut yang telah bermula pada 9 Januari lalu. Pada majlis itu, para perantis mendengarkan taklimat mengenai GrADS kemudian menandatangani kontrak bersama BILIF yang disaksikan oleh Hajah Sufinah.
Skim GrADS dihasratkan dapat membantu meningkatkan kebolehpasaran para pencari kerja dan graduan terutamanya dalam industri kewangan.
Perantis skim berkenaan akan menjalani program-program kepakaran insaniah dan teknikal selama dua bulan yang antara lain termasuk Latihan Mindset Perkembangan, Komunikasi Komprehensif dan Bengkel Microsoft Excel.
Di samping itu, beberapa perantis juga akan menjalani latihan penempatan kerja selama enam bulan di badan berkanun dan institusi-institusi kewangan termasuk Brunei Darussalam Central Bank (BDCB), Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD), Kumpulan Bank Baiduri, Perbadanan Tabung Amanah Islam Brunei (TAIB) dan Insurans Islam TAIB Holdings Sdn Bhd.
Penempatan itu akan memberikan mereka peluang untuk mengguna pakai segala kemahiran dan pengetahuan yang telah ditimba dan memberi mereka persediaan bagi menempuhi pasaran kerja.