Friday, October 25, 2024
32.5 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkat kecekapan sains belia di SEL

    Oleh Nurdiyanah R.
    Gambar serahan SEL

    BELAIT, 23 DIS – Dalam memeriahkan musim cuti penggal persekolahan hujung tahun di negara ini, Seria Energy Lab (SEL) dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) telah berjaya mengungkayahkan program Full STEAM Ahead buat siri ketiga di SEL, baru-baru ini.

    Dalam kenyataan yang dikeluarkan, SEL menjelaskan bahawa program yang bermula dari 30 November hingga 18 Disember lalu itu merupakan inisiatif pusat sains yang bertujuan untuk mewujudkan kesedaran tentang pendidikan STEAM serta meningkatkan kecekapan sains dalam kalangan belia melalui pembela-jaran interaktif.

    Menerusi program berkenaan, SEL telah menawarkan empat aktiviti menarik yang bersesuaian untuk semua peringkat umur iaitu Monster Slime, Tinkercraft, Circuit-Fantastic dan Cloudoh.

    Di samping itu, beberapa pertunjukan seperti SEL Studio dan Aquashow turut diadakan yang bertujuan untuk menyampaikan pembelajaran interaktif melalui hiburan.

    Selain itu, ceramah khas juga diadakan yang disampaikan oleh Pusat Promosi Kesihatan, Reef Cheek Brunei dan Bong Poh Yuk.

    Salah seorang kanak-kanak ketika melakukan aktiviti menarik dalam program Full STEAM Ahead buat siri ketiga di Seria Energy Lab (SEL) di Daerah Belait, baru-baru ini. Program itu dianjurkan oleh SEL dengan kerjasama Kementerian Sumber-sumber Utama dan Pelancongan (KSSUP) bagi memeriahkan musim cuti penggal persekolahan hujung tahun.
    Kanak-kanak dan belia menyertai aktiviti-aktiviti yang diadakan di SEL sempena cuti penggal persekolahan, baru-baru ini.

    Seorang kanak-kanak menunjukkan hasil kerjanya semasa menyertai salah satu aktiviti.

    Program juga dimeriahkan dengan pameran Muzium Sejarah Semula Jadi dari Universiti Brunei Darussalam (UBD) dan beberapa aktiviti yang diketengahkan oleh finalis Pertandingan Wanita dalam Sains 2022.

    Dalam pada itu, pertunjukan sains juga merupakan sebahagian daripada program termasuk rancangan Science Spectacular yang terkenal di SEL.

    Ia merupakan program pembelajaran berasaskan prestasi baharu yang mempamerkan dua persembahan sains interaktif yang berbeza.

    Pertunjukan sains berkenaan telah dimulai dengan persembahan yang ditampilkan oleh peserta daripada program SEL Creators.

    Berkongsi pengalaman sebagai salah seorang penghibur untuk sesi pertunjukan sains berkenaan, Awang Muhammad Hakimi Saldi Sofian menyatakan beliau perlu mempelajari kemahiran kreatif baharu sepanjang membuat persembahan dan bekerjasama dengan peserta lain dan pekerja SEL, ia sememangnya sangat menyeronokkan.

    Dalam kenyataan itu, SEL mengucapkan penghargaan dan terima kasih atas kerjasama semua organisasi, tetamu-tetamu khas, golongan sukarelawan dan penghibur kerana mengambil bahagian dalam program tersebut.

    Dalam pada itu, SEL kini mengalu-alukan projek dan program baharu bagi tahun depan, dengan matlamat untuk meningkatkan kecekapan sains orang ramai.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda