Oleh Yusrin Junaidi
BANDAR SERI BEGAWAN, 3 DIS – Musim cuti persekolahan di negara ini telah pun bermula dan pelbagai aktiviti serta program dirancang oleh setiap ketua keluarga bersama anak-anak untuk memenuhi bulan percutian ini dengan melakukan kegiatan-kegiatan riadah, bersiar-siar, melancong ke luar negeri dan lain-lain lagi.
Sehubungan itu, Pasukan Polis Diraja Brunei (PDB) memberikan peringatan serta nasihat kepada orang ramai agar sentiasa berhati-hati, meningkatkan kepekaan dengan mengambil langkah-langkah keselamatan yang bersesuaian di sepanjang cuti persekolahan ini terutama sekali semasa hendak meninggalkan rumah kediaman.
Orang ramai diingatkan untuk sentiasa memastikan pagar, pintu dan jendela rumah dalam keadaan tertutup rapi dan berkunci, juga disarankan untuk memasang sistem alat penggera dan juga sistem rakaman kamera litar tertutup (CCTV).
Dalam pada itu, PDB turut menekankan untuk tidak meninggalkan barangan berharga seperti barangan kemas, wang ringgit, dokumendokumen penting dan sebagainya dirumah yang ditinggalkan kosong.
Mereka yang berhasrat hendak keluar negeri semasa cuti persekolahan ini dinasihatkan supaya memaklumkan kepada ahli keluarga terdekat atau jiran berhampiran untuk memata-matai rumah dan sekitar kawasan luar rumah.
Manakala itu, bagi mereka yang hendak meninggalkan rumah dalam tempoh yang lama, boleh segera memaklumkan kepada balai-balai polis yang berdekatan.
Pada waktu malam, orang ramai disarankan untuk menyalakan cahaya lampu yang mencukupi di kawasan luar rumah dan orang ramai juga diperingatkan tidak membiarkan barang-barang berharga ditinggalkan di luar kawasan rumah atau dalam kenderaan di mana ia boleh mengundang dan menjadi daya tarikan penjenayah.
Selain itu, jangan simpan alat perkakas berupa tangga, pemutar skru, gergaji dan sebagainya di luar rumah yang mana boleh digunakan oleh penjenayah untuk melakukan jenayah pecah rumah atau jenayah pecah kereta.
Ibu bapa dan penjaga juga ditegaskan agar sentiasa memantau aktiviti pergerakan anak-anak mereka dan jangan membiarkan anak mereka balik lewat malam dan memastikan mereka tidak berkumpul di kawasan-kawasan awam atau melepak sepanjang malam serta terlibat dengan aktiviti jenayah dan aktiviti sosial yang tidak sihat.