Saturday, July 27, 2024
23.8 C
Brunei

    -

    Tingkat tahap sara diri

    Oleh Nurdiyanah R. –

    Salah satu matlamat strategik Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan) adalah mendukung pencapaian taraf sara diri, dengan membantu meningkatkan tahap sara diri golongan sasar melalui program keusahawanan agar mereka mampu berdikari meningkatkan potensi diri dan mampu meningkatkan taraf kehidupan keluarga.

    Hari Bakarih Yayasan yang sedang diadakan di Kompleks Yayasan adalah selaras dengan matlamat itu, di mana ia menyediakan ruang strategik sebagai sokongan kepada para pengusaha tempatan untuk mengukuhkan portfolio perniagaan dan meluaskan rangkaian pemasaran produk mereka.

    Ia merupakan platform perniagaan memperkenalkan produk-produk yang dihasilkan oleh para Usahawan Bakarih Yayasan (UBY) iaitu para pengusaha yang dilahirkan melalui program bantuan modal perusahaan atau perniagaan di bawah Skim Pembiayaan Kebajikan Yayasan.

    PENGUSAHA TAMPIL BERJIWA ‘BaKARIH, BaJARIH, BaLURIH’

    Sebanyak 20 pengusaha berjiwa ‘Bakarih, Bajarih, Balurih’ yang bukan sahaja terdiri daripada UBY, bahkan Program BIBD SEED, Konsortium Muallafpreneurs, PROPAZ dan 1K1P telah tampil menonjolkan pelbagai produk mereka yang tersendiri meliputi variasi makanan dan makanan, seni kraf tangan, dan sebagainya.

    Penulis berpeluang mendekati salah sebuah petak jualan milik salah seorang pengusaha yang mengikuti program UBY dengan produk burger homemade di bawah Eight Hearts Enterprise.

    Dayang Norinah bersama suami, Awang Mohammad Alizam mengungkapkan kesyukuran yang tidak terhingga kerana menjadi salah seorang peserta program UBY untuk sama-sama mencari rezeki pada acara tersebut. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & YUSRIN JUNAIDI
    Awang Ajis (tengah) bersama Awang Sarin (kiri) mengetengahkan sentuhan produk kraf tangan kayu semasa berlangsungnya Hari Bakarih Yayasan. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & YUSRIN JUNAIDI
    Pengunjung membeli minuman yang dijual para pengusaha terlibat pada acara tersebut yang akan berlangsung hingga penghujung tahun ini. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & YUSRIN JUNAIDI
    Pelbagai aktiviti kekeluargaan turut diadakan pada acara pada kali ini yang juga sempena menyambut Hari Keluarga Kebangsaan yang bertemakan Keluargaku, Harapanku. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & YUSRIN JUNAIDI
    Hari Bakarih Yayasan berlangsung di Kompleks Yayasan di ibu negara sehingga 31 Disember. – GAMBAR OLEH NURDIYANAH R. & YUSRIN JUNAIDI

    Dayang Norinah binti Narawi mengungkapkan rasa kesyukuran yang tidak terhingga kerana menjadi salah seorang peserta program berkenaan untuk sama-sama mencari rezeki bersama pengusaha-pengusaha yang lain.

    “Pastinya begitu banyak kelebihan mengikuti acara jualan sebegini terutamanya lokasi ini begitu strategik dan mudah diakses oleh semua pihak. Pembeli boleh datang terus ke petak-petak jualan kami untuk memenuhi cita rasa masing-masing sama ada menikmati juadah di meja dan kerusi yang dikhaskan mahu pun terus membawa pulang,” ujarnya yang turut mengetengahkan jualan produk gula-gula klasik.

    Dengan berpegang kepada keyakinan rezeki Allah itu ada di mana-mana, insan yang kini berusia 41 tahun itu turut mengongsikan bahawa beliau mengalami masalah penglihatan disebabkan penyakit glaukoma sejak 2020 namun bersyukur kekuatan meneruskan perjuangan demi mencari rezeki yang halal itu terus mengalir lebih-lebih lagi dengan adanya sokongan dan dorongan yang sangat teguh daripada suami, Awang Mohammad Alizam bin Ali.

    “Sebagai seorang usahawan seperti peniaga makanan dan minuman sebegini, janganlah mudah terasa atau sensitif jika terdapat respons orang ramai terhadap sentuhan produk yang diketengahkan itu kurang disenangi namun apa yang perlu dilakukan ialah sahut cabaran dan dugaan itu dengan hati dan minda yang terbuka dan terus berusaha mengorak langkah ke arah menggapai prestasi yang lebih baik dari sebelumnya.

    “Pastinya, sikap tidak mudah mengalah dalam menempuhi ranjau seni berniaga juga mestilah sentiasa disemai dalam diri dan jiwa ini, di samping sentiasa yakin rezeki Allah
    SWT itu ada di mana-mana selagi kita mampu berusaha dan bersaing secara sihat,” luah Dayang Norinah penuh ketulusan.

    Seorang lagi pengusaha di bawah program UBY, yang mengetengahkan produk kraf tangan kayu, Awang Ajis bin Awang Dollah berpendapat bahawa dengan menyertai acara sebegini, ia secara langsung mampu mendidik dirinya untuk lebih menyelami ilmu pengetahuan asas dalam bidang keusahawanan dengan lebih teratur dan menyeluruh merangkumi aspek pengurusan kewangan, pemasaran dan sebagainya, lebih-lebih lagi dengan sokongan pihak Yayasan di bawah program UBY sendiri.

    Beliau selaku pengurus yang menjalankan perusahaan di bawah AE Jaya Enterprise secara rasmi pada 2013 menambah bahawa bermula dengan pembuatan tongkat, kini pelbagai rekaan perabot telah berjaya dihasilkan seperti meja, almari dan sebagainya.

    “Belia-belia yang masih mencari pekerjaan, jangan sesekali terlalu berharap dengan pihak kerajaan namun satu perkara yang perlu kita semai dalam jiwa raga untuk terus berusaha mencari rezeki sendiri menerusi bidang perniagaan kerana yakinlah sembilan daripada 10 rezeki berada pada perniagaan,” tekan beliau dengan penuh harapan yang turut dibantu oleh Awang Sarin bin Mohammad selaku pembantu pekerja dalam perusahaan tersebut.

    PUPUK JALINAN KEKELUARGAAN

    Acara yang diungkayahkan dengan kerjasama Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan agensi-agensi berkepentingan yang lain sebagai pendekatan seluruh negara itu berlangsung sehingga 31 Disember depan.

    Ia turut disertai oleh agensi-agensi yang merupakan rakan strategik Yayasan iaitu Program BIBD SEED (Skim Pemerkasaan dan Pembangunan Keusahawanan Khas); Konsortium Muallafpreneurs di bawah Pusat Dakwah Islamiah (PDI); Program Pengupayaan Asnaf Zakat (PROPAZ) di bawah Majlis Ugama Islam Brunei (MUIB); dan program Satu Kampung Satu Produk (1K1P).

    Acara kali ini juga sempena menyambut Hari Keluarga Kebangsaan yang bertemakan Keluargaku, Harapanku bagi memfokuskan kepada nilai-nilai kekeluargaan Brunei iaitu sayang-menyayangi, bertanggungjawab, hormat-menghormati dan pemedulian (satu harapan) dengan tujuan untuk mengukuhkan nilai teras kekeluargaan dalam konteks Negara Brunei Darussalam.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...