Monday, October 14, 2024
31 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tingkatkan kesedaran kepentingan keselamatan pesakit

    Oleh Sim Y. H. –

    TUTONG, 13 OKT – Kesilapan diagnosis boleh memberi impak yang besar bukan sahaja dari segi kos rawatan yang meningkat tetapi juga boleh menyebabkan pesakit untuk berada di hospital dalam jangka masa yang lama serta boleh memberikan kesan psikologi bukan sahaja kepada pesakit itu bahkan juga kepada ahli keluarga mereka.

    Menurut statistik, kesilapan dalam penjagaan kesihatan merupakan salah satu penyebab utama komplikasi dan kematian yang boleh dicegah, tekan Menteri Kesihatan, Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bin Haji Jaafar ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Keselamatan Pesakit Sedunia 2024 yang berlangsung di Ruang Lobi, Hospital Pengiran Muda Mahkota Pengiran Muda Haji Al-Muhtadee Billah, Tutong, kelmarin.

    Beliau menyatakan bahawa beberapa matlamat utama telah digariskan bagi meningkatkan keselamatan pesakit iaitu pencegahan jangkitan dengan memastikan langkah-langkah pencegahan jangkitan diterapkan dengan ketat seperti kebersihan tangan dan pensterilan peralatan, keselamatan pembedahan dengan menggunakan senarai semak pembedahan untuk memastikan semua prosedur keselamatan diikuti sebelum, semasa dan selepas pembedahan serta pengurusan ubat yang betul dengan memastikan pesakit menerima ubat yang tepat dengan dos yang betul pada waktu yang tepat.

    Matlamat utama yang turut diketengahkan ialah peningkatan diagnosis yang betul di mana meningkatkan ketepatan diagnosis dapat memastikan pesakit menerima rawatan yang bersesuaian dan berkesan serta komunikasi yang berkesan di mana meningkatkan komunikasi antara ahli profesional kesihatan dan pesakit di mana pesakit diberikan maklumat yang mencukupi mengenai prosedur dan risiko yang terlibat.

    Yang Berhormat Dato menyatakan bahawa sambutan berkenaan memberikan penumpuan kepada aspek keselamatan pembedahan.

    Sehubungan dengan itu, Yang Berhormat Dato menyatakan kementeriannya telah merangka satu Dasar Keselamatan Pembedahan di mana dasar menyenaraikan senarai semak yang perlu dilakukan oleh semua ahli profesional kesihatan yang terlibat dalam bilik pembedahan termasuk sebelum pemberian bius, sebelum memulakan pembedahan dan selepas pembedahan bagi mengurangkan risiko yang berkaitan semasa menjalankan pembedahan.

    Majlis diteruskan dengan tayangan video, perasmian sambutan dan penyerahan dokumen, Safety Surgery Policy. Dalam pada itu, Yang Berhormat Dato menyempurnakan serta merasmikan Unit Pengambilan Darah / Phlebotomi.

    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham bergambar ramai pada majlis sambutan berkenaan. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyaksikan pameran yang diadakan semasa majlis tersebut. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    Yang Berhormat Dato Seri Setia Dr Haji Mohammad Isham menyempurnakan perasmian Unit Pengambilan Darah / Phlebotomi. – GAMBAR OLEH JAMES KON
    GAMBAR OLEH JAMES KON

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda