Monday, April 28, 2025
29.8 C
Brunei

    Berita Terkini

    Tip ketika menziarahi orang sakit

    PASTI ada sahaja ahli keluarga terdekat atau kenalan yang mempunyai masa susah dan sakit. Harus bagi kita menziarahi mereka sebagai tanda ingatan dan menyokong mereka disaat-saat ini.

    Ada diantara kita kurang menitikberatkan keadaan sekeliling semasa melawat orang sakit. Selamba sahaja berbual dengan suara yang kuat dan duduk lama sehingga berjam-jam. Paling mengecewakan bila anda datang dengan tangan kosong. Betul, memang bukan wajib untuk anda membawa buah tangan tapi sedikit sebanyak pesakit akan berasa gembira dan memberi reaksi yang positif.

    Di sini dikongsikan beberapa adab melawat orang sakit yang boleh anda terapkan dan idea buah tangan yang boleh dibawa ketika menziarah:

    Adab ziarah orang sakit

    -Memakai pakaian yang sesuai dan sopan.

    -Jangan datang pada waktu malam, kemungkinan pesakit sedang berehat.

    -Elakkan berbual mengenai isu yang berat seperti politik.

    -Elakkan membawa anak kecil.

    -Bertanya khabar dan keadaan sebenar pesakit.

    -Jangan bercerita mengenai orang yang sudah meninggal atau menakut-nakutnya.

    -Memberi kata-kata semangat dan galakan kepada pesakit.

    Idea buah tangan untuk pesakit

    1.Buah-buahan yang siap dipotong

    Buah-buahan yang dibungkus di dalam bakul memang kelihatan amat cantik tapi lebih baik dan mudah jika anda menyiapkan buah yang sudah dipotong. Pesakit boleh menikmatinya terus daripada menyusahkan si sakit untuk kerja megupas dan memotong.

    2.Kit mandian atau penjagaan badan

    Sesuai untuk pesakit yang bermalam di wad. Cukup dengan krim mandian, losyen tangan, berus gigi dan ubat gigi.

    3.Makanan berat seperti bubur berkhasiat

    Kalau anda mengunjungi pesakit pada waktu tengahari atau petang sesuai sajikan pesakit dengan makanan berat seperti bubur atau roti. Pilih makanan yang lembut dan mudah dihadam, kalau pesakit di hospital bawa sekali kelengkapan seperti mangkuk dan sudu.

    4.Pencuci mulut atau makanan ringan

    Makanan yang manis-manis boleh memberi tenaga kepada pesakit tapi biar ia berpada-pada. Ketahui keadaan pesakit, jangan pula sakitnya diabetes anda hidangkan bubur jagung, itu mengundang bahaya. Anda boleh sediakan makanan seperti yogurt, biskut lemak rendah dan kekacang organik.

    5.Selimut atau bantal

    Mungkin agak janggal untuk memberi buah tangan seperti bantal atau selimut. Tapi tidak salah pun sebagai tanda anda mengambil berat keselesaan pesakit sepanjang tempoh rawatan.

    6.Bahan bacaan atau hiburan

    Jika si sakit yang anda kenali suka membaca, bawakan beberapa majalah yang menarik untuk menjadi ruang membuang waktu bosan. Kalau boleh elakkan memberi novel yang tebal atau buku cerita yang ‘berat’.

    Menziarahi orang sakit dalam Islam

    Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga.

    Amalan ziarah sesama Islam dituntut dilakukan pada bila-bila masa, bukan hanya sekadar pada masa sakit sahaja. Amalan seumpama ini mendapat ganjaran yang besar, sebagaimana sabda Baginda Rasulullah SAW dalam hadis-hadis di bawah ini:

    Abu Hurairah ra meriwayatkan: “Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda: “Kewajipan seorang muslim terhadap seorang muslim yang lainnya lima perkara, iaitu: Menjawab salam, menziarahi orang sakit, mengiringi jenazah (ke tanah perkuburan), memenuhi jemputan dan mendoakan orang yang bersin.” (Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim)

    Sabda Rasulullah SAW maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi saudara se-Islamnya yang sakit, seolah-olah dia berada dalam ‘Kharfah’ sehinggalah dia pulang.” Baginda ditanya: “Wahai Rasulullah, apakah yang dimaksud dengan ‘Kharfah’ itu?” Rasulullah saw bersabda: “Iaitu kebun di syurga (yang penuh dengan buah-buahan yang boleh dipetik pada bila-bila masa)”. (Hadis Sahih Riwayat Muslim). – Agensi

    Menziarahi orang sakit adalah sunat dan digalakkan oleh Islam. Perbuatan ini dapat mempereratkan lagi hubungan ukhuwwah sesama muslim dan silaturrahim sesama keluarga. – Gambar hiasan
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda