Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    TNB sasar ganti 30 peratus kenderaan dengan EV

    KUALA LUMPUR, 25 FEB – Syarikat tenaga terkemuka Malaysia, Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited kepada peralihan tenaga yang pantas dan bertanggungjawab, akan menggantikan 30 peratus daripada kenderaan operasinya kepada kenderaan elektrik (EV) menjelang 2030, berjumlah lebih 1,000 kenderaan.

    Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif, Datuk Seri Baharin Din berkata langkah strategik ini selari dengan aspirasi Malaysia neutral karbon menjelang 2050.

    “Dalam langkah penting ke arah merealisasikan komitmen ini, TNB mempercepatkan peralihan kepada EV dengan menggunakan 98 unit baharu merangkumi 78 trak pikap elektrik dan 20 van elektrik.

    “Ini menjadikan jumlah keseluruhan EV dalam kumpulan kenderaan operasi TNB kepada 127 buah kenderaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

    Baharin berkata komitmen besar ini menyumbang secara signifikan kepada sasaran kerajaan untuk mencapai 20 peratus jualan EV menjelang 2030, selaras dengan Dasar Automotif Kebangsaan (NAP) 2020.

    Katanya, peralihan kepada EV oleh TNB diunjurkan menghasilkan pengurangan tahunan sebanyak 2,200 hingga 4,833 tan karbon dioksida, bersamaan dengan kira-kira 88,000 hingga 193,320 pokok sebagai pengimbang menjelang 2030.

    Baharin berkata TNB bukan sahaja berdedikasi untuk mempercepatkan penggunaan EV menjelang 2030 tetapi juga memberi tumpuan kepada peningkatan semula kemahiran untuk industri EV, membina infrastruktur pengecasan, menaja kajian berkaitan EV dan memupuk kerjasama dalam kalangan pemain sektor EV. – Bernama

    Gambar Freepik
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...