Saturday, July 27, 2024
31.8 C
Brunei

    -

    Trend warna-warni Iran

    TEHRAN – Beralih daripada pakaian gelap, pereka Iran cuba mencapai keseimbangan yang baik antara trend yang semakin meningkat yang memilih warna-warna cerah dan kod pakaian ketat republik Islam itu untuk wanita.

    “Sebagai seorang wanita muda, saya memilih pakaian dalam reka bentuk moden dengan warna-warna cerah,” kata pereka berusia 22 tahun, Hadis Hassanlou kepada AFP pada pameran fesyen yang bersejarah di Istana Saadabad di Tehran.

    Selepas revolusi 1979, wanita di Iran terpaksa mematuhi kod pakaian yang ketat dan memakai pakaian yang longgar selain menutup kepala dan leher.

    Apabila mereka keluar dari rumah, ramai wanita memilih chador hitam dari kepala hingga kaki. Tetapi sejak beberapa tahun kebelakangan ini, pereka Iran juga telah berusaha untuk memasukkan warna yang lebih cerah dalam ciptaan mereka.

    Reka bentuk baharu pada pameran itu, di mana kira-kira 50 pakaian dipamerkan, termasuk segala-galanya daripada chador hitam kepada gaun bercorak bunga panjang dan kot yang dipadan di pinggang.

    Rekaan yang dipamerkan semasa pameran fesyen dan pakaian yang dicipta pereka fesyen Iran di Kompleks Istana Sadabad, Tehran. – AFP
    Pelawat melihat hasil ciptaan yang dipamerkan semasa pameran tahunan fesyen oleh pereka muda Iran di Kompleks Istana Sadabad. – AFP
    Gambar AFP

    “Apabila mereka corak, pertama sekali saya mengambil kira norma dan peraturan masyarakat,” kata pereka Sanaz Sarparasti.

    Dia berkata reka bentuknya yang berwarna-warni bertujuan untuk mengikuti trend yang semakin berkembang dalam kalangan wanita muda Iran.

    Mereka “mahu menjadi lebih bebas, lebih moden dan lebih terkini dalam cara dan apa yang mereka berpakaian,” kata Sarparasti.

    NORMA KETAT

    Pereka bentuk mengatakan peralihan kepada warna yang lebih cerah tidaklah mudah, terutamanya kerana ramai wanita masih mengutamakan warna yang lebih gelap.

    “Norma masyarakat dan peraturan negara selalunya mewajibkan warna yang lebih gelap,” kata Afshin Parsaee. “Kami masih perlu menghasilkannya juga, ” kata pereka itu.

    Selain memakai tudung menutup kepala dan leher, wanita yang bekerja di pejabat kerajaan diwajibkan memakai pakaian seragam Islam yang gelap dan labuh.

    Pada pameran itu, Menteri Kebudayaan, Mohammad Esmaili berkata pakaian adalah ‘simbol budaya paling penting bagi mana-mana tamadun’, dan memuji apa yang disebutnya sebagai ciri ‘sederhana’ pakaian Islam di Iran.

    Hassanlou berkata dia telah berusaha untuk menggabungkan warna dengan seni kaligrafi tradisional Iran dalam coraknya yang menurutnya berasal daripada ‘fesyen Parsi asli’ yang telah berkembang sejak beribu-ribu tahun.

    “Salah satu matlamat saya apabila mereka bentuk pakaian adalah agar ia moden dan berwarna-warni, walaupun mengikut tradisi kaligrafi,” katanya.

    Pereka lain berharap untuk melihat hasil kerja mereka suatu hari nanti di ibu kota fesyen yang terkenal.

    “Kami telah meletakkan agenda mempromosikan minggu fesyen pakaian Parsi di Paris, Milan dan London,” kata Hadis Pazouki, ketua fesyen, pakaian dan gaya hidup negara itu.

    “Kami percaya pakaian Parsi yang indah boleh dipakai oleh sesiapa sahaja, bukan sahaja warga Iran.” – AFP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Sri Lanka adakan pilihan raya presiden pada 21 September

    COLOMBO, 26 JULAI – Suruhanjaya Pilihan Raya Sri Lanka mengumumkan pada Jumaat bahawa pilihan raya presiden negara itu akan diadakan pada 21 September, lapor...