Wednesday, March 12, 2025
25.4 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump akan teruskan usaha denuclearisation menyeluruh Korea Utara

    WASHINGTON, 29 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, akan meneruskan usaha ke arah ‘denuclearisation menyeluruh Korea Utara,’ lapor agensi berita Yonhap yang memetik pegawai Rumah Putih, kelmarin, di tengah-tengah persoalan sama ada tindakan Trump baru-baru ini dengan merujuk negara itu sebagai ‘kuasa nuklear’ menandakan sebarang perubahan dasar.

    Jurucakap Majlis Keselamatan Negara AS, Brian Hughes, membuat kenyataan itu sejurus selepas agensi berita pusat Korea Utara (KCNA) melaporkan bahawa pemimpin negara itu, Kim Jong-un, telah melawat pangkalan pengeluaran bahan nuklear dan institut senjata nuklear, yang dilihat sebagai usaha menonjolkan keupayaan ketenteraan Pyongyang.

    “Presiden Trump akan meneruskan denuclearisation menyeluruh Korea Utara, seperti yang dilakukannya dalam penggal pertamanya,” kata Hughes sebagai menjawab soalan daripada agensi berita Yonhap.

    “Presiden Trump mempunyai hubungan baik dengan Kim Jong-un, dan gabungan pendekatan tegas serta diplomasi beliau telah membawa kepada komitmen peringkat pemimpin yang pertama mengenai denuclearisation menyeluruh,” tambah pegawai itu.

    Hughes dipercayai merujuk kepada perjanjian antara Trump dan Kim semasa sidang kemuncak pertama mereka di Singapura pada 2018.

    Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak bersetuju untuk bekerjasama ke arah ‘denuclearisation menyeluruh’ di Semenanjung Korea serta menetapkan hubungan dua hala yang baharu. – Bernama

    Trump berucap semasa Majlis Makan Malam Persidangan Ahli Dewan Republikan 2025 di Trump National Doral Miami di Doral, Florida pada 27 Januari. – AP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda