WASHINGTON, 5 FEB – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin menandatangani dua perintah eksekutif iaitu mengembalikan kempen ‘tekanan maksimum’ ke atas Iran dan mengesahkan AS menarik diri daripada Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNHRC), lapor Agensi Anadolu (AA).
Langkah itu dibuat menjelang pertemuan Trump dengan Perdana Menteri Israel Benjamin Netanyahu di Rumah Putih sekali gus mengukuhkan pendirian tegas pentadbirannya terhadap dasar Timur Tengah.
Di bawah perintah baharu itu, Jabatan Perbendaharaan AS diarahkan untuk mengenakan sekatan menyeluruh ke atas Iran termasuk menyasarkan eksport minyak negara itu dan mengehadkan pengaruhnya di rantau berkenaan.
“Ia sangat sukar bagi Iran,” kata Trump kepada pemberita. “Saya tidak suka melakukannya, tetapi saya tidak mempunyai banyak pilihan kerana kita perlu kuat dan tegas.”
Pengembalian tekanan ekonomi ini selaras dengan dasar konfrontasi Trump terhadap Iran termasuk penarikan diri secara unilateral daripada perjanjian nuklear 2015 serta arahan pembunuhan komander tentera Iran, Jeneral Qasem Soleimani pada 2020.
Dalam masa sama, Trump turut menandatangani perintah bagi AS menarik diri dari UNHRC, mengembalikan semula keputusan yang dibuat semasa penggal pertamanya.
Tindakan itu juga menamatkan pembiayaan AS kepada Agensi Bantuan dan Kerja PBB untuk Pelarian Palestin (UNRWA), yang sebelum ini telah digantung pada 2024 di bawah pentadbiran Presiden Joe Biden.
Pada Oktober lalu, parlimen Israel, Knesset, meluluskan undang-undang yang mengharamkan operasi UNRWA di wilayah yang dikawal Israel serta melarang pegawai Israel daripada berurusan dengan agensi itu. – Bernama/AA