WASHINGTON, 21 JAN – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump kelmarin menyatakan bahawa beliau tidak yakin perjanjian gencatan senjata di Gaza akan bertahan, walaupun memuji usaha diplomatiknya untuk memastikan perjanjian itu tercapai menjelang pelantikannya.
Ketika ditanya oleh seorang wartawan semasa kembali ke Rumah Putih sama ada kedua-dua pihak akan mengekalkan gencatan senjata dan meneruskan perjanjian tersebut, Trump berkata, “Saya tidak yakin.”
“Itu bukan perang kita, itu perang mereka. Tetapi saya tidak yakin,” kata Trump.
Namun, Trump menambah bahawa beliau percaya pejuang Hamas ‘semakin lemah’ dalam perang yang bermula dengan serangan kumpulan yang tidak pernah berlaku itu pada 7 Oktober 2023 ke atas Israel.
“Saya lihat gambar Gaza. Gaza kelihatan seperti tapak pemusnahan besar-besaran,” kata Trump.
Ahli perniagaan hartanah yang kini menjadi ahli politik populis itu berkata Gaza boleh menyaksikan pembinaan semula yang luar biasa jika rancangan tersebut diteruskan.
“Ia adalah lokasi yang luar biasa di tepi laut, cuaca terbaik. Awda tahu, semuanya baik. Banyak perkara indah boleh dilakukan dengannya,” katanya.
Israel dan pejuang Hamas pada Ahad telah mula melaksanakan perjanjian gencatan senjata yang merangkumi pertukaran tebusan dan tahanan.
Rancangan tersebut pada asalnya digariskan oleh presiden ketika itu, Joe Biden, pada bulan Mei dan dilaksanakan melalui usaha diplomasi bersama yang luar biasa oleh para utusan Biden dan Trump.
Trump, walaupun mendesak agar perjanjian itu diteruskan, dengan jelas menyatakan bahawa beliau akan tetap teguh menyokong Israel.
Dalam salah satu tindakan pertamanya, beliau membatalkan sekatan terhadap peneroka ekstremis Israel di Tebing Barat yang dikenakan oleh pentadbiran Biden berikutan serangan terhadap rakyat Palestin. – AFP