Friday, December 27, 2024
23.6 C
Brunei

    Berita Terkini

    Trump umum anggota baharu pentadbiran

    WASHINGTON, 12 NOV – Presiden Amerika Syarikat (AS) yang baru dipilih, Donald Trump, pada Isnin mengumumkan beberapa anggota baharu pentadbirannya, dengan Senator AS, Marco Rubio dijangka dilantik sebagai Setiausaha Negara AS.

    Rubio dan Ahli Kongres Michael Waltz, yang dicalonkan sebagai Penasihat Keselamatan Negara, dikenali dengan pendirian tegas terhadap China, yang dianggap mereka sebagai ancaman kepada kekuatan ekonomi dan ketenteraan AS.

    Kedua-dua tokoh dari Florida itu dijangka menjadi perancang utama dasar luar “America First” yang diutamakan oleh Trump, yang turut berikrar untuk menamatkan konflik di Ukraine dan Timur Tengah, serta mengelakkan penglibatan ketenteraan AS baharu.

    Trump, 78, berjanji bahawa penggal kedua pentadbirannya akan membawa perubahan radikal terhadap kerajaan persekutuan.

    Pada Isnin, Trump turut mengumumkan pelantikan pegawai imigresen, Tom Homan, sebagai ‘ketua sempadan’ bagi memenuhi janji domestiknya untuk melaksanakan deportasi besar-besaran terhadap pendatang tanpa dokumen.

    Media AS melaporkan bahawa Stephen Miller, pencipta dasar ‘tegahan Muslim’ semasa penggal pertama Trump, dijangka dilantik sebagai timbalan ketua staf dengan portfolio yang luas.

    Ahli Kongres New York, Elise Stefanik, yang lantang mempertahankan Israel, diumumkan sebagai calon Duta ke Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) oleh pasukan peralihan Trump.

    Dalam pengumuman lanjut, pasukan Trump turut mencadangkan Lee Zeldin, sekutu politik awalnya, sebagai Ketua Agensi Perlindungan Alam Sekitar (EPA) dengan mandat untuk mengurangkan peraturan alam sekitar dan pencemaran yang dilihat sebagai halangan oleh sektor perniagaan. – AFP

    Trump bersama Rubio, semasa satu kempen di Arena JS Dorton di Raleigh, North Carolina, pada 4 November. – AFP
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda