Saturday, April 27, 2024
31.4 C
Brunei

    -

    Tumbuhan terbukti boleh hidup dalam tanah bulan

    CAPE CANAVERAL, FLORIDA – Ahli sains buat pertama kalinya telah menanam tumbuh-tumbuhan dalam tanah dari bulan yang diambil oleh angkasawan NASA Apollo.

    Para penyelidik tidak mempunyai idea sama ada tanaman tersebut akan bertunas atau bercambah dalam tanih bulan yang kotor dan ingin melihat sama ada ia boleh digunakan untuk menanam makanan lain oleh penjelajah bulan generasi akan datang. Dan hasil keputusannya mengejutkan mereka.

    “Sungguh menghairankan. Tumbuh-tumbuhan sebenarnya boleh hidup dan membesar dalam tanah-tanih bulan. Adakah ini satu gurauan?” kata Robert Ferl daripada Institut Makanan dan Sains Pertanian Universiti Florida.

    Ferl dan rakan sekerjanya menanam selada thale dalam tanah-tanih bulan yang dibawa pulang oleh angkasawan Apollo 11 Neil Armstrong dan Buzz Aldrin, serta angkasawan bulan lain. Berita yang menggembirakan adalah kesemua anak benih yang ditanam itu bercambah.

    Masalah yang dihadapi adalah selepas minggu pertama, ciri-ciri tanah bulan yang kasar memberikan tekanan besar kepada rumpai berbunga kecil sehinggakan tanaman berkenaan membesar dengan perlahan berbanding anak benih yang ditanam dalam tanah bulan tiruan dari Bumi. Kebanyakan tanaman menggunakan tanih bulan berakhir dengan pembesaran terbantut.

    Anna-Lisa Paul (kiri) dan Rob Ferl bekerja dengan tanah-tanih bulan di makmal mereka di Gainesville, Florida. – AP
    Gambar serahan Universiti Florida menunjukkan seorang penyelidik mengeluarkan selada thale yang ditanam dalam tanah bulan, di sebuah makmal di Gainesville, Florida. – AP
    Rob Ferl menimbang tanah yang diambil dari bulan di makmal. – AP
    Gambar serahan Universiti Florida menunjukkan perbezaan di antara tumbuhan selada thale yang ditanam dalam abu gunung berapi dari Bumi (kiri) dengan selada yang ditanam dalam tanah bulan, selepas 16 hari, di sebuah makmal di Gainesville. – AP

    Hasil keputusan berkenaan telah diterbitkan dalam Biologi Komunikasi pada Khamis.

    Lebih lama tanah-tanih terdedah kepada radiasi kosmos yang kuat serta angin solar di bulan, lebih teruk keadaan tanaman berkenaan. Sampel daripada angkasawan Apollo 11 – terdedah beberapa bilion tahun lebih lama kepada elemen berkenaan disebabkan permukaan Laut Ketenangan yang lebih tua – merupakan persekitaran paling kurang sesuai untuk penanaman tumbuh-tumbuhan, menurut ahli sains.

    “Ia adalah kemajuan besar apabila mengetahui bahawa awda boleh menanam tumbuh-tumbuhan menggunakan tanah dari bulan,” kata Simon Gilroy, pakar biologi tumbuhan angkasa lepas di Universiti Wisconsin-Madison, yang tidak mempunyai sebarang peranan dalam kajian tersebut. “Langkah seterusnya adalah melakukannya di permukaan bulan.”

    Tanah-tanih bulan dipenuhi dengan serpihan kaca kecil akibat impak mikrometeorit yang boleh didapati merata-rata dalam kapal pendarat bulan Apollo dan menghauskan baju angkasawan.

    Satu cara untuk menyelesaikannya adalah menggunakan kawasan geologi yang lebih baharu di bulan, seperti aliran lahar, untuk menggali tanah-tanih bertujuan digunakan dalam penanaman. Persekitaran juga boleh diubahsuai dengan mengubah campuran nutrien ataupun menyelaraskan cahaya tiruan.

    Hanya 382 kilogram batu-batuan dan tanih bulan yang dibawa pulang oleh enam kru Apollo. Beberapa abu bulan paling awal telah ditaburkan pada tanaman yang dikuarantin bersama angkasawan Apollo di Houston selepas kembali dari bulan.

    Kebanyakan barangan yang dibawa dari bulan masih disimpan jauh daripada penglihatan orang ramai, sekali gus memaksa penyelidik menjalankan uji kaji dengan tanah-tanih tiruan yang dibuat daripada abu gunung berapi di Bumi. NASA akhirnya berjaya mengeluarkan 12 gram tanah untuk diberikan kepada penyelidik Universiti Florida pada awal tahun lalu, dan penanaman yang lama dinanti-nantikan itu berlangsung pada Mei lalu dalam sebuah makmal.

    Menurut NASA, masa yang diambil untuk uji kaji sedemikian adalah sesuai, dengan agensi angkasa lepas menimbang untuk menghantar angkasawan kembali semula ke bulan dalam beberapa tahun ini.

    Situasi yang ideal adalah membolehkan angkasawan masa depan menerokai bekalan tanah-tanih tempatan yang tersedia ada untuk penanaman dalam bangunan berbanding mendirikan sistem hidroponik atau sistem air, ujar ahli sains.

    “Disebabkan apa-apa sahaja dapat hidup dan membesar bermakna kami mempunyai langkah permulaan yang bagus, dan sekarang persoalan yang timbul adalah bagaimana kami mengotimumkan dan mempertingkat lagi hasil keputusan,” kata Sharmila Bhattacharya, ahli sains program NASA untuk biologi angkasa.

    Saintis Florida berharap dapat mengitar semula tanih bulan pada akhir tahun ini, dengan menanam lebih banyak selada thale sebelum beralih kepada penanaman tumbuh-tumbuhan lain. – AP

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Coca-Cola penyumbang terbesar pencemaran plastik dunia

    CANBERRA, 26 APRIL - Lebih separuh daripada pencemaran plastik berjenama yang ditemui dalam alam sekitar di seluruh dunia datang daripada 56 syarikat, menurut dapatan...