Biarpun sejak akhir ini dilihat lebih aktif menjayakan drama terbitan platform penstriman Over The Top (OTT) berbanding stesen televisyen (TV), bukan bermakna Siti Saleha memilih menjayakan projek bajet besar.
Siti Saleha atau nama penuh, Siti Saleha Mohd Baharum, 33, tidak menafikan kelebihan berlakon di OTT, namun dia juga sedar drama TV yang mesra khalayak mampu membuatkan dirinya terus dikenali masyarakat.
“Kebanyakan pelakon suka beraksi di OTT. Namun, pada masa sama kena ambil ‘job’ untuk TV demi populariti. Jika tidak, pengikut menurun.
“Biarpun saya mengaku OTT adalah pasaran masa hadapan, tetapi kita kena ada dalam drama TV.
“Kita kena berlakon drama slot Akasia sebab mak cik semua suka tonton. Saya sudah lama tidak berlakon buat drama. Naskhah terakhir adalah 7 Hari Mencintaiku musim ketiga, awal tahun lalu.
“Selepas itu, saya banyak fokus drama di platform OTT seperti Viu,” katanya kepada BH Online.
Tidak menolak pendapat dirinya kini selektif, Saleha mahukan kelainan setiap kali tampil dalam naskhah baharu.
Sama seperti pelakon lain yang sudah bertahun-tahun terbabit dalam dunia seni, Saleha suka mencabar diri untuk mempamerkan sisi lakonan berbeza.
“Sudah tentu saya hendak pilih dari segi cerita. Bagaimanapun, watak dan cerita ditawarkan hampir sama dan pernah dilakonkan. Ini bukan klise, tetapi jalan cerita sama, saya mahukan sedikit kelainan.
“Disebabkan itu, saya ambil tawaran buat drama premium seperti siri Tonton Original: SeOfis.” – Agensi