Jumaat, 21 November 2025
24.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Uji minda pelajar menjelang peperiksaan SPUB

    Oleh Yusrin Junaidi

    BANDAR SERI BEGAWAN, 1 OGOS – Sebagai latihan menguji minda sebelum Peperiksaan Sijil Pelajaran Ugama Brunei (SPUB), Bahagian Sekolah Arab, melalui Sekolah Arab Sultan Haji Hassanal Bolkiah (SASHHB) telah mengendalikan Program Ilal Majdi wal ‘Ula yang berlangsung di sekolah berkenaan, hari ini.

    Program diisikan dengan Program Genius Zakat iaitu pertandingan yang disertai oleh pelajar Sanah 10ft dan Sanah 11 dari tiga buah sekolah Arab yang pelajarnya akan mengikuti Peperiksaan SPUB iaitu SASHHB, Sekolah Ugama Arab Menengah Perempuan Raja Isteri Pengiran Anak Hajah Saleha dan Mahad Islam Brunei.

    Setiap sekolah menghantar satu pasukan iaitu enam orang setiap pasukan dan
    menjalani tiga pusingan pertandingan yang merangkumi fiqh zakat iaitu garis panduan zakat dalam Islam, hukum-hakam, permasalahan berserta hujah, persyaratan wajib, perlaksanaannya dan kefahaman terhadap jenis-jenis zakat. Pertandingan dilaksanakan menggunakan Bahasa Arab.

    Hadir selaku tetamu kehormat majlis ialah Ketua Bahagian Sekolah Arab Jabatan Pengajian Islam, Kementerian Hal Ehwal Ugama (KHEU), Pengiran Mohamad Aminuddin bin Pengiran Haji Hussin.

    Menurut kenyataan yang dikeluarkan, program bermatlamat untuk menarik minat seluruh calon Peperiksaan SPUB menyertai inisiatif berkenaan sebagai latihan uji minda kendiri, manfaat ulang kaji secara intervensi bersama guru fiqh Islam dan evaluasi persiapan tahap penguasaan mata pelajaran fiqh zakat sebelum menjelang hari peperiksaan.

    Ia diharap dapat mempromosi minda kreatif, kemahiran inovatif dan pencapaian progresif melalui konsep persaingan yang menguntungkan dalam melahirkan para genius perundangan fiqh zakat yang berpotensi menjadi panduan dan rujukan rakan sebaya serta melengkapi jurang aras yang berbeza.

    Di samping itu, ia juga dapat mewujudkan keyakinan mampu jaya dalam kalangan penuntut melalui semangat kerjasama, sokongan moral dan sosial, serta kompromi hebat melalui persaingan bermanfaat, sekali gus membudayakan sikap kerja berpasukan yang luhur dan mantap.

    Antara penuntut yang menyertai program berkenaan yang berlangsung di SASHHB.
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda