Thursday, January 16, 2025
28.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ukiran unik nerikiri wagashi

    Oleh Ryo Kato –

    TOKYO – Nerikiri ialah sejenis kuih wagashi Jepun yang lembut dan lembap. Setiap bahagian diukir dengan tangan dalam corak cantik yang menggunakan bukan sahaja motif tradisional seperti bunga dan tumbuhan, tetapi juga unsur-unsur atau elemen yang biasa ditemui dalam kehidupan kontemporari, seperti makanan yang dimasak di rumah, acara dan haiwan. Ia adalah hidangan yang mengekspresikan dunia yang mesra dan penuh kegembiraan.

    Noriko Kawashima ialah pembuat wagashi di kedai gula-gula Jepun, Meika Soan Shingetsu di Tsu yang mengekspresikan musim sejuk melalui nerikiri berdasarkan reka bentuk asalnya sendiri, termasuk stu rebusan daging lembu, baju sejuk dan topi bulu.

    Rebusan daging lembu mempunyai tekstur yang tebal dan berkilat yang dihasilkan menggunakan jeli kacang merah yokan yang kelihatan seperti objek sebenar, manakala bakul yang mengandungi benang yan mempunyai tekstur seperti rotan yang dihasilkan oleh kerja tangan yang halus.

    “Saya menggunakan objek harian sebagai motif, tetapi terdapat banyak perkara yang tidak dapat diberikan bentuk yang baik dengan mudah, jadi terdapat banyak percubaan dan kesilapan,” ujar Kawashima.

    Kawashima lahir di Tokyo pada tahun 1974. Selepas menamatkan pengajian dari sekolah konfeksi, dia pada mulanya bekerja dalam bidang jualan dalam industri konfeksi. Selepas berkahwin, dia memulakan kerjayanya sebagai pembuat konfeksi di Shingetsu, yang dikendalikan oleh keluarga suaminya.

    Potongan nerikiri dengan motif musim sejuk, seperti baju panas dan stu, membangkitkan kehangatan dan kebahagiaan. – Yomiuri Shimbun
    Oni bota comel yang dihasilkan untuk Setsubun. – Yomiuri Shimbun
    Corak nerikiri berbentuk haiwan adalah popular dalam kalangan kanak-kanak. – Yomiuri Shimbun
    Peralatan untuk membuat konfeksi nerikiri. – Yomiuri Shimbun

    Apabila bercakap mengenai nerikiri, bunga camellia dan bunga plum adalah motif standard pada musim sejuk.

    Kawashima menjelaskan motivasi di sebalik ciptaannya, “Saya fikir jika saya menggunakan pendekatan reka bentuk yang berbeza daripada gaya tradisional, saya mungkin dapat menarik tumpuan lebih ramai orang terhadap wagashi.”

    Apabila dia mula menyiarkan foto wagashinya di Instagram (@norinriko), ia mula menarik perhatian orang ramai.

    Nerikiri yang dibuatnya bersempena dengan acara bermusim adalah antara konfeksi yang lebih popular.

    Oni bota beraneka warna untuk Setsubun, sehari sebelum permulaan musim bunga mengikut kalendar lunisolar, kelihatan seperti watak comel dari buku bergambar. Tidak terhad kepada acara bermusim Jepun, dia juga telah membuat nerikiri untuk Krismas dan Halloween.

    Nerikiri berbentuk haiwan ciptaannya sangat popular dalam kalangan kanak-kanak.

    Anjing dan arnab mempunyai bulu yang gebu, yang dibentuk dengan adunan halus doh nerikiri yang dihancurkan dengan menekan doh melalui ayak, dan corak gajah dan panda mempunyai mata yang comel dan bulat.

    “Hari ini, orang muda dan kanak-kanak mungkin tidak mempunyai banyak peluang untuk makan wagashi. Namun kemanisan nerikiri yang berbeza sesuai dengan kopi dan teh sehingga saya ingin melihat orang ramai menjadikannya sebahagian daripada kehidupan seharian mereka,” kata Kawashima.

    MUDAH DIBUAT DI RUMAH

    Reka bentuk nerikiri yang disiarkan oleh Kawashima di Instagramnya sangat popular sehingga dia dapat menerbitkan buku bertajuk Hajimete tsukuru kawaii nerikiri wagashi (Cara membuat nerikiri wagashi comel pertama awda) dengan Sangyo Henshu Center Co.

    Dia juga menganjurkan bengkel di pelbagai tempat, dan kursus itu juga telah menerima sambutan yang memberangsangkan. Terdapat alat yang berbeza untuk membuat nerikiri.

    Penyepit Kinton mempunyai hujung yang sangat nipis, yang berguna untuk kemasan butiran halus, dan sankaku bera (spatula segi tiga) ialah batang kayu yang digunakan terutamanya untuk membuat corak kelopak.

    Orang ramai boleh membuat alat ini sendiri dengan mengetam penyepit buluh atau kayu empelas yang dibeli dari kedai DIY.

    “Jika awda ingin membuat nerikiri di rumah, awda boleh menggunakan penyedut minuman, sudu dan peralatan dapur lain sebagai ganti alat berkenaan,” kata Kawashima.

    “Mulakan secara santai dan buat doh nerikiri dengan mencampurkan pes kacang putih dengan gyuhi (mochi lembut).” – ANN/Japan News

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda