SANDAKAN, 13 DIS – Seramai 10 orang mahasiswa Sarjana Pentadbiran Perniagaan (MBA) dari Pusat Siswazah Perniagaan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM-GSB) berjaya mengumpul dana RM75,000 untuk inisiatif pemuliharaan penyu.
UKM-GSB dalam kenyataan hari ini memaklumkan dana itu diserahkan kepada Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah pada majlis penyerahan dana dan perasmian aktiviti sukarelawan Program Legasi Penyu: Tekad Bersama Memulihara, yang disempurnakan Pengerusi Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda), Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek di sini.
Menurut kenyataan itu dana berkenaan akan digunakan bagi menaja 500 sangkar penyu sekali gus membantu pengurusan Taman Pulau-Pulau Penyu (TPPP) memberi perlindungan dan pemuliharaan spesies penting dalam ekosistem laut yang semakin terancam itu, di sekitar Pulau Bakungan Kecil, Selingan dan Gulisan.
UKM-GSB memaklumkan kumpulan mahasiswa itu, yang dikenali sebagai The Ocean Guardian atau penjaga lautan, turut melaksanakan aktiviti dan kempen kesedaran bersama 20 sukarelawan lain bagi menyalurkan maklumat kepada orang awam tentang kepentingan melindungi dan memulihara penyu khususnya di Sabah.
Menurut UKM-GSB penaja utama program terdiri daripada Felda, FGV Holdings Bhd, Felda Investment Corporation Sdn Bhd (FIC), Yayasan Felda, Malaysian Kuwaiti Investment Co Sdn Bhd (MKIC) dan Eng Huat Latex Concentrate Sdn Bhd.
Program itu turut mendapat perhatian dan kerjasama Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah (KePKAS), Lembaga Pemegang Amanah Taman-Taman Sabah, Eastern Sabah Security Command (ESSCOM), Rangkaian Penyelesaian Pembangunan Mampan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu Asia (UNSDSN Asia), Sunway University serta Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia.
“Sebagai sebuah universiti penyelidikan terkemuka di Malaysia, UKM bukan sahaja komited dalam menyediakan pendidikan dan pengajaran yang berkualiti, malah memainkan peranan penting dalam menyokong negara mencapai matlamat Pembangunan Lestari Bangsa-bangsa Bersatu (UNSDG),” menurut kenyataan itu. – Bernama