Thursday, February 6, 2025
25.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Ulang tahun ke-75 American Wreck diperingati

    BANDAR SERI BEGAWAN, 28 JUN – Bagi memperingati ulang tahun ke-75 American Wreck, Poni Divers telah mengadakan penyelaman memorial di Kompleks Sukan Air Serasa, baru-baru ini.

    Turut hadir ialah Charges d’affaires Kedutaan Besar Amerika di Brunei Darussalam, Scott Woodard yang juga merupakan seorang penggemar aktiviti selaman serta para penyelam lain dari komuniti selaman Poni Divers.

    Terdahulu sebelum penyelaman, para peserta bertafakur selama seminit untuk memperingati ulang tahun ke-75 dan memberi penghormatan kepada yang terkorban semasa peperangan.

    Scott Woodard berkata, “Ia merupakan satu penghormatan sebenar untuk menghargai pengorbanan mereka yang berjuang untuk mempertahankan kebebasan kita 75 tahun yang lalu.”

    American Wreck adalah salah satu kapal karam Perang Dunia Kedua (WWII) yang ikonik di Brunei, yang dapat diakses menggunakan bot laju kira-kira 45 minit dari pusat penyelaman Poni Divers di Pantai Serasa.

    Kalungan bunga diletakkan oleh 14 orang penyelaman di atas bangkai kapal American Wreck.

    Ia terletak 1.4km jauh dari Australian Wreck dan merupakan saki-baki klasik WWII dengan kelongsong-kelongsong meriam masih ada di atas dek.

    American Wreck yang pada asalnya dinamakan USS Salute AM 294 merupakan kapal penyapu periuk api Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) yang dibina pada 11 November 1942 oleh Winslow Marine Railway and Shipbuilding Co, Seattle, Washington dan dilancarkan pada 6 Februari 1943.

    Selepas semua pemeriksaan akhir, Salute belayar dari San Francisco pada 21 Mac 1944 menuju Hawaii. Antara April dan September 1944, kapal berkenaan mengiringi konvoi-konvoi antara Pearl Harbour, Majuro, Kwajalein, Eniwetok, Guam dan Saipan sebelum dimasukkan ke dalam Armada ke-7 di Manus pada 8 Oktober bagi serangan Leyte.

    Pada 20 Oktober, Salute menyertai divisyennya, Mine Division 34, di luar pantai Leyte di Filipina bagi membersihkan periuk api di laluan pengangkutan utama selama empat hari dan kemudian berlabuh bersama kapal-kapal pengangkut untuk memberikan sokongan anti pesawat.

    Salute bersama divisyennya menyertai dalam kebanyakan pendaratan di Filipina. Ia menjalankan pembersihan sebelum serangan antara Disember hingga Januari 1945. Pada 13 Februari, Salute dan divisyennya memulakan pembersihan pra serangan di Teluk Manila.

    Ketika menjalankan pembersihan di luar pesisir Pulau Corregidor pada 14 Februari, Salute yang berada dalam lingkungan 5,000 ela dari pulau berkenaan dihujani tembakan tentera Jepun sebelum kapal-kapal sokongan memusnahkan senjata-senjata di pulau berkenaan.

    Salute terus menjalankan pembersihan periuk api di Teluk Manila sehingga 18 Februari dan divisyennya menerima pujian Unit Tentera Laut bagi operasi berkenaan.

    Bersama Mine Divisyen 34, Salute tiba di Teluk Brunei dan memulakan pembersihan pra serangan pada 7 Jun 1945. Malangnya, pada hari berikutnya, kapal berkenaan melanggar periuk api dan mengenai tengah kapal.

    Dua lancang pendaratan cuba menyelamatkan kapal berkenaan tetapi tidak dapat mengawalnya dan karam pada 8 Jun 1945, dengan meragut sembilan jiwa.

    American Wreck terputus dua, dengan satu bahagian berada di atas satu lagi bahagian. Ia adalah tapak penyelaman yang popular dan mencabar dengan banyak artifak di atas dan berdekatan bangkai kapal berkenaan.

    Pada 14 November 2019, seorang lelaki bernama Wayne Shafer menghubungi seorang penyelam tempatan, Alan Goh dan mengucapkan terima kasih kerana berkongsi video pendek mengenai penyelamannya di American Wreck di Brunei pada forum penyelaman bangkai kapal yang dimuat naiknya hampir setahun lalu.

    Rupanya, Wayne Shafer adalah saudara kandung Ralph Clyde Shaffer yang terkorban apabila USS Salute terlanggar periuk api laut.

    Kira-kira sebulan selepas itu, pada 1 Disember 2019, Alan Goh, Stuart Goring, kakitangan Poni Divers, Maclen Torres dan Akim Samaan serta Oscar Woo dan isterinya, Jing dari China meletakkan plak memorial di dalam USS Salute bagi memperingati Ralph, MM Petty Officer 2nd Class, yang terkorban pada usia 21 tahun.

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda