Selepas kejayaan Shila Amzah, penyanyi remaja meningkat naik, Ummi Umairah Abdullah, 14, atau Umai dalam perancangan untuk mengembangkan kerjaya nyanyiannya ke China.
Umai yang juga anak saudara biduanita negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza adalah artis pertama yang bernaung di bawah syarikat pengurusan bakat, SN Legacy Sdn Bhd milik penyanyi terkenal itu.
Siti ketika ditemui berkata, dia berharap Umai boleh mengembangkan bakat nyanyiannya ke China kerana dia memiliki kelebihan berbahasa Mandarin.
“Umai kena banyak lagi belajar perkara membabitkan aspek persembahan untuk menjadi penghibur sebab kita ada karakter sendiri dan itu adalah kelebihan utama yang sangat besar.
“Bila kita ke sana tidak bawa karakter nilai sebagai penghibur, ia akan menjadi sukar sebab mereka mempunyai ramai penghibur yang bagus,” katanya kepada HMetro.

Mengulas mengenai pasaran muzik di China, Siti berkata, ia sesuatu yang sangat luar biasa kerana dia pernah berkunjung ke negara itu beberapa kali sebelum berkahwin.
“Saya pernah ke sana beberapa kali sebelum berkahwin untuk menyertai pertandingan nyanyian di Shanghai dan membuat persembahan di Taiwan ketika itu.
“Jadi, saya melihat ia pasaran yang sangat luas untuk diteroka dan bertuah kalau dapat meneroka pasaran muzik di sana.
“Selepas menang dan beberapa kali buat persembahan di sana dulu, saya terus berkahwin dan hasrat meneroka pasaran muzik di China tidak tercapai. Jadi, saya harap Umai boleh ke sana pula nanti,” katanya.
Ditanya sama ada dia yakin, Umai akan diterima dan berjaya menempa nama di China, Siti berkata, dia lebih suka melihat perkara itu dari sudut yang positif. – Agensi