Wednesday, April 23, 2025
23.3 C
Brunei

    Berita Terkini

    Umar sasar rekod baharu kebangsaan 400m

    KUALA LUMPUR, 2 JULAI – Juara acara 400 meter (m) lelaki Sukan SEA 2023, Umar Osman berhasrat memperbaharui rekod kebangsaan miliknya pada Kejohanan Olahraga Asia, di Pattaya, Thailand, pertengahan bulan ini.

    Atlet berusia 22 tahun itu berkata, bagi mencapai misi berkenaan, dia kini giat menjalani latihan bersama jurulatihnya, Simon Lau, di Sekolah Sukan Singapura sempena cuti semester di Politeknik Ibrahim Sultan, Pasir Gudang, Johor.

    Menurut pelari kelahiran Johor Bahru itu, yang berada dalam pasukan Sukan Malaysia (SUKMA) Johor, dia masih mengikuti program latihan disediakan Simon walaupun beliau kini menggalas tanggungjawab sebagai jurulatih di Sport Singapore.

    “Sasaran saya di Pattaya adalah untuk meningkatkan catatan terbaik peribadi (PB) (yang juga merupakan rekod kebangsaan). Sekiranya tidak dapat memperbaiki rekod, saya nak sekurang-kurangnya catat masa yang hampir serupa supaya dapat mengekalkan prestasi,” katanya ketika dihubungi Bernama, hari ini.

    Kejohanan Olahraga Asia di Pattaya, yang merupakan kelayakan untuk Kejohanan Dunia 2023 di Budapest, Hungary, dijadualkan berlangsung lima hari bermula 12 Julai ini. – Bernama

    Umar Osman bergambar bersama pingat emas yang dimenanginya dalam acara 400 meter lelaki Sukan SEA 2023 Phnom Penh Kemboja di Stadium Nasional Morodok Techo pada 9 Mei. – Bernama
    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda