BANDAR SERI BEGAWAN, 2 Feb – Universiti Islam Sultan Sharif Ali (UNISSA), kelmarin, telah menerima pengiktirafan antarabangsa dengan kunjungan lawatan kerja daripada Presiden Al-Muntada Al-Islami Li Al-Qanun Ad-Dauli Al-Insani (IFIHL), Qatar, Dr. Fauzi Oussdiddiq.
Hadir bagi mengalu-alukan kunjungan Presiden IFIHL ialah Dekan Fakulti Syariah dan Undang-undang, Dr. Hajah Masnooraini binti Haji Mohiddin dan seterusnya menyampaikan taklimat tentang penubuhan UNISSA.
Pihak UNISSA juga berkesempatan mendengarkan sesi ceramah umum yang telah disampaikan oleh Presiden IFIHL. Perbahasan yang disentuh adalah bidang undang-undang dan hak asasi manusia yang telah dipesongkan oleh orang-orang yang mempunyai kepentingan peribadi dan agama Islam membetulkan perkara ini mengikut apa yang telah diajarkan melalui Al-Quran dan Al-Hadis.
Menurut kenyataan UNISSA, kunjungan ini membuktikan bahawa universiti berkenaan bukan hanya dikenali oleh pihak institusi pengajian tinggi antarabangsa malah juga dikenali oleh badan-badan NGO luar negara.
Kehadiran Presiden IFIHL merupakan langkah ke arah mengetengahkan UNISSA untuk terus maju ke hadapan dalam memberikan sokongan kepada masyarakat dunia Islam, ujar UNISSA.

Antara tujuan kunjungan beliau adalah untuk memperkenalkan peranan IFIHL terhadap dunia Islam dan tanggungjawab yang dipikul dalam memberi kefahaman kepada dunia tentang ajaran agama Islam.
Pertubuhan berkenaan juga merupakan sebahagian daripada Jawatankuasa Islam Antarabangsa Bulan Sabit (ICIC) dan antara aktiviti penubuhannya adalah bertujuan mengukuhkan berkenaan dengan undang-undang kemanusiaan antarabangsa dan penyebaran prinsip-prinsip dan peraturan mengikut garis pandu syariat Islam.
Atas dasar itu juga, beliau akan berusaha membantu kepakaran ilmiah yang ada di UNISSA melalui penulisan jurnal khususnya dalam bidang perundangan Islam.