Wednesday, May 1, 2024
30.8 C
Brunei

    -

    Unit kedai tawar belia ceburi bidang keusahawanan

    Oleh Lyna Mohamad –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 17 APRIL – Bilik-bilik pejabat di bawah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, tidak jauh dari ruang parkir VIP, telah diubah suai dan dijadikan unit kedai sebagai salah satu aset Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) yang menawarkan belia tempatan untuk menceburi bidang keusahawanan.

    Apabila unit-unit kedai berkenaan siap, lima daripada 17 perniagaan yang dianugerahkan geran di bawah program inkubasi keusahawanan Pusat Pembangunan Belia (PPB), ditawarkan untuk menjalankan perniagaan mereka di lokasi tersebut.

    Kelima-lima perniagaan berkenaan ditawarkan ruang di barisan yang sama dengan Barberku, sebuah kedai gunting rambut yang diusahakan oleh empat orang belia tempatan yang telah dibuka secara rasmi oleh mantan Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Mejar Jeneral (B) Dato Paduka Seri Haji Aminuddin Ihsan bin Pehin Orang Kaya Saiful Mulok Dato Seri Paduka Haji Abidin, pada 4 September 2020.

    Salah seorang pengasas, Awang Abdul Mateen bin Haji Zainalabidin berkata, “Kami berbesar hati kerana menteri merasmikan pembukaan kedai kami dan sejak itu, beliau sangat menyokong perniagaan dan kami sentiasa berterima kasih atas sokongan dan motivasi serta nasihat beliau.

    “Kami juga melihat niat baik beliau untuk memastikan kami berada di landasan yang betul apabila beliau singgah bagi memotong rambutnya,” kongsinya lagi.

    Barberku, terletak di bawah Stadium Negara Hassanal Bolkiah, tidak jauh dari ruang parkir VIP. – GAMBAR OLEH LYNA MOHAMAD

    Beliau seterusnya menambah bahawa mereka pada mulanya diberikan kursus gunting rambut selama tiga bulan di PPB dan setelah tamat kursus, mereka dianugerahkan dengan geran dan tempat untuk memulakan perniagaan kedai gunting rambut di salah satu unit kedai dan kemudiannya bergabung dengan penyewa lain.

    “Perniagaan berjalan lancar untuk kami. Sebelum dan selepas wabak COVID tidak pernah menjadi masalah bagi kami kerana kami mengambil langkah-langkah tambahan untuk memastikan keselamatan bukan sahaja pelanggan kami malah diri kami sendiri namun penutupan telah menjejaskan pendapatan kami kerana kebanyakan penyewa di sini bergantung pada perniagaan sebagai pendapatan tunggal,” ujarnya.

    Daripada empat kedai yang beroperasi di sana, buat masa ini hanya Barberku yang tinggal dan terselamat daripada terpaksa memberhentikan operasi tidak seperti penyewa kedai lain yang tidak dapat meneruskan perniagaan mereka kerana sewa juga telah dinaikkan oleh kerajaan dan menyebabkan penyewa tiada pilihan selain untuk memulangkan semula unit dan menghentikan operasi.

    “Adalah berfaedah jika ada lebih banyak perniagaan yang menyewa unit kosong sebagai jiran kami. Kami mempunyai perniagaan yang agak baik terutamanya pada bulan puasa tetapi dengan lebih banyak kedai masuk, ia akan meningkat lebih banyak,” katanya lagi.

    Buat masa ini, bilangan pelanggan Barberku kembali baik hasil daripada pemasaran mereka sendiri, kebanyakannya daripada platform media sosial dan mulut ke mulut pelanggan sedia ada termasuklah mereka yang sekali-sekala berjoging di sekitar kawasan tersebut.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Rumah kosong di Jepun cecah rekod baharu 9 juta

    TOKYO, 1 MEI - Jumlah rumah kosong di Jepun meningkat kepada rekod baharu 9 juta setakat Oktober 2023, iaitu kenaikan sebanyak 510,000 daripada tinjauan...