Saturday, May 4, 2024
27.4 C
Brunei

    -

    United mara ke final Piala FA

    LONDON, 22 APRIL – Manchester United terselamat daripada kekalahan yang mengejutkan untuk menewaskan Coventry menerusi penentuan sepakan penalti dalam perlawanan Piala FA kelmarin, sekali gus menetapkan perlawanan akhir kedua berturut-turut menentang Manchester City.

    Anak buah Erik ten Hag memenangi penentuan sepakan penalti di Wembley 4-2, dengan Rasmus Hojlund menjaringkan sepakan penalti penentu selepas kedua-dua pasukan terikat 3-3 selepas masa tambahan.

    Perlawanan itu menggambarkan musim yang huru-hara bagi anak buah Ten Hag, yang jauh ketinggalan dalam saingan Liga Perdana.

    Tiada petanda tentang apa yang akan berlaku apabila United mendahului 3-0 menentang lawan mereka dari divisyen dua di London, dengan gol daripada Scott McTominay, Harry Maguire dan Bruno Fernandes.

    Tetapi sejak kebelakangan ini mereka selalu mensia-siakan kelebihan mendahului perlawanan dan dalam perlawanan menentang Coventry, kesilapan tersebut masih berulang.

    Jaringan pada separuh masa kedua daripada Ellis Simms dan Callum O’Hare memberikan harapan kepada pemenang Piala FA 1987 dan Haji Wright menyamakan kedudukan dari sepakan penalti pada minit ke-95, menamatkan kebangkitan yang hampir tidak boleh dipercayai.

    Peminat Coventry yang memakai pakaian serba biru mengejek Ten Hag dengan melaungkan ‘kamu akan dipecat pada waktu pagi’.

    Perlawanan diteruskan dengan masa tambaha yang menghiburkan, dengan kedua-dua pasukan melakukan percubaan yang terkena tiang sebelum United mengawal rasa gugup untuk memenangi penentuan penalti.

    “Kami meletakkan diri kami dalam kedudukan yang sukar dan sepatutnya telah menghabiskannya lebih awal tetapi kami tidak melakukannya,” kata kapten United, Fernandes. “Kami perlu melakukan lebih baik.” – AFP

    Aksi Bruno Fernandes semasa penentuan sepakan penalti perlawanan bola sepak separuh akhir Piala FA Inggeris di stadium Wembley di London pada 21 April. – AP
    Artikel sebelum ini
    Artikel seterusnya
    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Gara-gara pelancong ‘biadab’, pemandangan Gunung Fuji disekat

    FUJIKAWAGUCHIKO, JEPUN, 3 MEI - Kerja-kerja telah dimulakan di sebuah pekan kecil Jepun untuk membina sekatan yang menghalang pemandangan pa-ling terkenal di negara itu,...