Saturday, July 27, 2024
27.1 C
Brunei

    -

    Upacara penurunan bendera besar

    Oleh Sim Y.H. & Daniel Lim –

    BANDAR SERI BEGAWAN, 25 FEB – Setelah berkibar megah di ruang udara Bandar Seri Begawan selama kira-kira 10 hari, Bendera Besar Negara Brunei Darussalam diturunkan dalam upacara penuh beradat di Kawasan Lapang Kompleks Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah (Yayasan), di sini, hari ini.

    Upacara Menurunkan Bendera Besar Negara Brunei Darussalam sempena Sambutan Ulang Tahun Hari Kebangsaan Negara Brunei Darussalam ke-40 (HK-40) disempurnakan oleh Timbalan Menteri (Urus Tadbir Perkhidmatan Awam) di Jabatan Perdana Menteri (JPM), Dato Seri Paduka Mohd Riza bin Dato Paduka Haji Mohd Yunos selaku timbalan pengerusi bersama.

    Turut hadir pada majlis berkenaan ialah ahli-ahli Majlis Mesyuarat Negara (MMN), setiausaha-setiausaha tetap dan timbalan-timbalan setiausaha tetap, ahli-ahli Jawatankuasa Kerja Tertinggi HK-40 serta ahli-ahli jawatankuasa kerja lain.

    Upacara dimulakan dengan bacaan Surah Al-Fatihah dan Doa Allah Peliharakan Sultan dan Negara Brunei Darussalam oleh Penguasa Masjid Omar ‘Ali Saifuddien, Haji Zulkifli bin Haji Murat.

    Majlis diteruskan dengan penurunan bendera besar yang dilaksanakan oleh pasukan Tentera Laut Diraja Brunei (TLDB) dan pasukan Kadet Tentera, Kadet Polis, Kadet Bomba dan Penyelamat serta Alumni Program Khidmat Bakti Negara (PKBN) yang bergerak masuk dengan iringan Pancaragam Pasukan Polis Diraja Brunei (PPDB).

    Anggota Tentera Laut Diraja Brunei menurunkan bendera besar. – GAMBAR OLEH MUIZ MATDANI
    Bendera negara diserahkan kepada Pemangku Pegawai Daerah Belait oleh pembawa bendera semasa upacara di kawasan Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait. – GAMBAR OLEH DANIEL LIM

    Upacara menurunkan bendera kebangsaan dilangsungkan dengan penuh semangat patriotisme yang diiringi dengan lagu kebangsaan, Allah Peliharakan Sultan. Bendera besar yang selesai diturunkan kemudian diserahkan kepada Dato Seri Paduka Mohd Riza bagi menandakan berakhirnya pengibaran bendera kebangsaan di seluruh negara secara rasmi.

    Upacara penurunan bendera besar itu menandakan berakhirnya tempoh pengibaran bendera kebangsaan di seluruh negara yang bermula pada 16 Februari bersempena sambutan HK-40.

    Dengan penurunan bendera besar berkenaan, upacara serupa telah diadakan di seluruh negara termasuk bendera yang berkibar di kawasan Menara Cendera Kenangan, Kuala Belait.

    Hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Belait, Haji Amirol Hafidzin bin Haji Muhammad, ahli-ahli MMN, ketua-ketua jabatan dan cawangan Daerah Belait, para penghulu mukim dan ketua-ketua kampung, ahli-ahli majlis perundingan mukim dan kampung, wakil-wakil daripada pihak swasta serta persatuan-persatuan.

    Manakala di Daerah Temburong upacara serupa diadakan di kawasan Dermaga Pekan Bangar.

    Hadir menyaksikan upacara tersebut ialah Pemangku Pegawai Daerah Temburong, Awang Mohamad Yassin bin Haji Ahmed, Pemangku Penolong Pegawai Daerah Temburong, Awang Haji Mohamad Azmi bin Haji Suhaili, Pengerusi Majlis, Haji Awang Sulaiman bin Haji Nasir, ahli-ahli MMN, ketua-ketua cawangan jabatan-jabatan kerajaan, pemangku penghulu-penghulu mukim, ketua-ketua kampung, pemangku ketua-ketua kampung dan jemputan khas.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    Agensi cuaca Jepun keluarkan amaran strok haba

    TOKYO, 26 JULAI – Pegawai cuaca Jepun hari ini menggesa orang ramai mengambil langkah-langkah bagi mencegah strok haba ketika cuaca panas melampau dijangka melanda...