Oleh Salawati Haji Yahya –
BANDAR SERI BEGAWAN, 24 JAN – Bulan Rejab adalah bulan mencatatkan sejarah yang sentiasa diingati oleh umat Islam kerana dalam bulan ini berlaku peristiwa Israk Mikraj Rasulullah SAW.
“Dalam peristiwa itu, Rasulullah SAW telah diisrakkan (diperjalankan) dari Masjidilharam di Mekah ke Masjidil Aqsa di Palestin dan kemudian dimikrajkan (dinaikkan) ke langit menuju ke Sidratulmuntaha,” kata khatib semasa khutbah Jumaat hari ini yang bertajuk Menuju Kejayaan dengan Sembahyang.
Menurut khatib lagi, dalam kejadian tersebut, Baginda Rasulullah SAW telah menyaksikan tanda-tanda keagungan dan kekuasaan Allah serta kemuncak peristiwa inilah Allah telah memfardukan sembahyang lima waktu kepada umat Islam.
“Ibadah sembahyang tanda ketaatan dan kesyukuran kepada Allah yang telah melimpahkan pelbagai nikmat dan juga rahmat.
“Sesungguhnya, ibadah sembahyang adalah ibadah utama dan yang mula-mula sekali akan diperhitungkan oleh Allah pada hari kiamat kelak.
“Jika seseorang itu sempurna sembahyangnya, berbahagialah dan beruntung dia, tapi jika sebaliknya akan rugi dan menyesal dia kelak, apatah lagi bagi mereka yang meninggalkan sembahyang kerana hukumnya berdosa besar dan Allah telah menjanjikan seksaan yang pedih di akhirat kelak,” tekannya.
Beliau juga mengingatkan yang ibadah sembahyang itu sangat banyak fadilat dan kesannya dalam kehidupan, antaranya seperti mengajar tentang pengurusan dan kepentingan masa serta mendisiplinkan diri untuk menepati waktu.
Selain itu, sembahyang juga membimbing ke arah memperbaiki diri, contohnya sentiasa berzikir mengingat Allah, membaca Al-Quran serta memahami isi kandungan dan yang terpenting adalah melaksanakan ibadah sembahyang, kerana sembahyang mampu menolong seseorang menghindarkan dirinya daripada melakukan perkara mungkar dan dosa.
Sembahyang juga, katanya, dapat mengukuhkan hubungan sesama insan dan antara amalan yang terpenting ialah melakukan sembahyang secara berjemaah.
Sembahyang berjemaah mempunyai rahsianya yang sangat istimewa dan antaranya dapat menghidupkan rasa kesatuan yang sebenar dalam jiwa umat Islam, dan ini akan dapat membuahkan rasa kemesraan serta menyemarakkan semangat persaudaraan seagama.
Fadilat lain juga termasuk membuahkan kejayaan dan keberkatan dalam kehidupan di dunia dan di akhirat, kerana di dalam Al-Quran ada menyebutkan tentang orang beriman yang berjaya mencapai keselamatan hidup di dunia dan menikmati kebahagiaan yang kekal di akhirat ialah mereka yang mengerjakan sembahyang dengan khusyuk.
Beliau seterusnya menjelaskan, balasan bagi orang yang sentiasa menjaga dan memelihara sembahyangnya, sudah pasti Allah memberikan ganjaran syurga paling tinggi.
Pada zaman yang serba moden ini, kita semakin sibuk dengan hal ehwal dunia, tetapi janganlah dijadikan kesibukan itu sebagai satu alasan untuk mencuaikan dan melalaikan ibadah sembahyang.
Ringan atau berat ibadah sembahyang itu, tegasnya, bergantung kepada keimanan seseorang dan semakin beriman seseorang itu, semakin mudahlah ia menunaikan dan mendirikan sembahyang, tetapi jika kurang iman seseorang itu terhadap Allah, akan berasa berat dan masalah ia untuk menunaikan ibadah sembahyang.
Khatib seterusnya menyeru umat Islam untuk sama-sama meningkatkan ketakwaan kepada Allah dengan bersungguh-sungguh melaksanakan usaha dalam mendidik anak-anak dan ahli keluarga untuk tetap menyempurnakan kewajipan masing-masing terutama dalam ibadah sembahyang.
“Dengan itu, mudah-mudahan kita semua akan terhindar daripada sebarang bahaya dan bala bencana serta tidak terjerumus ke dalam neraka,” tekannya.