Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    Usaha bantu B40 diteruskan

    KUCHING, 21 Jun – Program Perumahan Rakyat (PPR) merupakan inisiatif Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) dalam menyelesaikan masalah perumahan bagi golongan berpendapatan rendah untuk memiliki rumah.

    Menterinya, Zuraida Kamaruddin berkata fokus utama KPKT adalah keluarga yang tinggal di kawasan setinggan sekitar bandar raya seperti Kuching, Bintulu dan Miri.

    “Setakat ini, kira-kira 4,866 buah keluarga daripada penempatan setinggan di Kuching tiada tempat tinggal yang tetap.

    “Jadi mereka inilah yang memerlukan sebuah rumah, KPKT ingin membantu mereka dan adalah menjadi keutamaan kami untuk menyediakan rumah pertama kepada golongan ini. Apa yang penting adalah mereka harus bersedia untuk tinggal di luar kawasan bandar,” katanya.

    Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke tapak perumahan PPR Sungai Tengah fasa dua di Matang hari ini. Hadir sama Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sarawak, Datuk Dr Sim Hui Hian.

    Zuraida Kamaruddin ketika meninjau Program Perumahan Rakyat HDC Taman Banjaran Serapi yang mempunyai kemudahan untuk penghuni Orang Kurang Upaya (OKU). – Bernama

    Zuraida berkata, selain membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah, KPKT juga memberikan fokus untuk membantu golongan keluarga muda untuk memiliki rumah pertama.

    “Tidak ketinggalan adalah golongan keluarga muda yang mahu memiliki rumah sendiri yang tergolong dalam kelompok isi rumah berpendapatan rendah (B40). Adalah menjadi harapan KPKT di masa akan datang untuk menaiktarafkan rumah jenis kos rendah di seluruh negara,” katanya.

    Selain Selangor, Sarawak adalah negeri kedua yang menyediakan pembiayaian bagi membantu golongan berpendapatan rendah memiliki rumah melalui Program Pinjaman Mutiara (Mutiara Mortgage and Credit Sdn Bhd).

    Dalam program tersebut kerajaan negeri akan memperuntukkan sejumlah wang pendahuluan bagi keluarga yang tidak mampu membuat pembayaran deposit. – Bernama

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda