Oleh Yusrin Junaidi –
BANDAR SERI BEGAWAN, 12 SEPT – Pakaian tradisional pelbagai kaum di negara ini yang merupakan warisan tamadun dan peradaban sejak zaman berzaman perlu terus dipulihara dan ditonjolkan kepada masyarakat agar ia tidak dilupakan.
Sehubungan itu, Kementerian Kebudayaan, Belia dan Sukan (KKBS) melalui Bahagian Kebudayaan dan Kesenian dengan kerjasama Jabatan Muzium-muzium, Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan Pusat Sejarah Brunei (PSB) mengadakan Pameran Kebaya: Pengetahuan, Kemahiran, Tradisi dan Amalan di Galeri 4, Hab Tenaga Dermaga Diraja, Bandar Seri Begawan.
Hadir merasmikan pameran berkenaan ialah Menteri Pendidikan dan Pemangku Menteri Kebudayaan, Belia dan Sukan, Yang Berhormat Datin Seri Setia Dr Hajah Romaizah binti Haji Mohd Salleh selaku Pengerusi Suruhanjaya Kebangsaan UNESCO di Negara Brunei Darussalam.
Pameran itu adalah sebagai usaha pembarigaan kepada pencalonan kebaya ke UNESCO bagi 2023.
Pencalonan ini merupakan kali pertama bagi Negara Brunei Darussalam dalam usaha memulihara serta melindungi warisan negara melalui UNESCO. Ia juga pencalonan bersama Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand bagi senarai Representative List of the Intangible Cultural Heritage of Humanity, UNESCO pada 2023.
Pelaksanaannya juga disempenakan dengan Sambutan Ulang Tahun ke-20 Konvensyen Melindungi Warisan budaya Tak Ketara 2003, UNESCO sejak konvensyen ini diadopsi pada 17 Oktober 2003 dalam Sidang Umum ke-32 UNESCO.
Pameran melibatkan empat agensi iaitu Bank Islam Brunei Darussalam (BIBD) dan Penerbangan Diraja Brunei (RB) yang mempamerkan pakaian seragam (kebaya), manakala persatuan pereka fesyen Negara Brunei Darussalam, Fashion Designers Alliance mempamerkan koleksi rekaan kebaya.
Fashion Designers Alliance adalah sebagai penerus generasi pereka fesyen dan jahitan yang terdiri daripada anak tempatan dan diwakili oleh Naforrer dan Little Dayang.
Lamin Warisan juga turut menyumbangkan baju kebaya lama untuk dipamerkan. Antara matlamat pameran adalah untuk memberikan impak dan semangat serta kesedaran kepada masyarakat, khususnya belia dan generasi muda akan kepentingan menjaga warisan budaya tak ketara Negara Brunei Darussalam dan memberikan ilmiah dan pengetahuan serta kefahaman lebih mendalam mengenai warisan budaya tak ketara kepada masyarakat agar dapat menjadi modal insan yang lebih berpendidikan dan berbudaya.
Pameran dan sambutan berkenaan akan memuatkan aktiviti-aktiviti seperti pengenalan kepada UNESCO termasuk sejarah ringkas Negara Brunei Darussalam meratifikasi Konvensyen 2003, pelaksanaan dan pencapaian; penubuhan Jawatankuasa Warisan Kebangsaan dan Pelancaran Daftar Warisan Brunei; Pencalonan Bersama (Brunei, Indonesia, Malaysia, Singapura dan Thailand) Kebaya ke UNESCO; pameran jenis-jenis kebaya serta penceritaannya termasuk pameran daripada rakan-rakan strategik.