Sunday, April 21, 2024
24.3 C
Brunei

    -

    Usaha sekumpulan wanita hasilkan Beg Ngesong

    BACHOK – Persalinan batik Kelantan dengan motif bunga ketam guri dan bunga telang yang merupakan identiti dan sinonim dengan negeri Cik Siti Wan Kembang sentiasa mendapat permintaan tinggi peminat produk kraf tangan berasaskan batik.

    Selain baju, produk kraf tangan berasaskan batik turut dihasilkan dalam bentuk tali leher, alas meja serta banyak lagi.

    Melihat kepada potensi besar produk kraf tangan, 15 wanita dari kampung sekitar Jelawat dan Gunong, di sini, berjaya mencipta kelainan apabila menghasilkan beg dengan motif batik Kelantan.

    Pengurus projek ‘Beg Ngesong’, Rozana Mat Radzi, 44, berkata penghasilan beg batik itu bermula dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) lalu apabila mereka sepakat cuba mencari sumber pendapatan alternatif.

    “Sebagai permulaan kami bekerjasama dengan Kraf Tangan Malaysia Cawangan Kelantan di bawah program kemahiran komuniti, mereka tampil beri bantuan seperti rekaan beg, latihan dan bahan mentah kepada kami yang terdiri daripada 10 tukang jahit dan lima orang lagi yang menguruskan kerja seperti pembungkusan dan lain-lain.

    Rozana menunjukkan sebahagian beg dengan motif batik Kelantan ketika ditemui Bernama di Bengkel Beg Batik Ngesong di Kampung Bukit Chenda, Gunong baru-baru ini. – Bernama
    Rozana memantau kerja-kerja penghasilan beg bermotifkan batik Kelantan di Bengkel Beg Batik Ngesong di Kampung Bukit Chenda, Gunong baru-baru ini. – Bernama

    “Lebih menarik 10 tukang jahit terbabit sebenarnya tidak pernah menghasilkan beg, sebaliknya mereka sebenarnya tukang jahit baju namun atas usaha gigih kini sudah mampu mengeluarkan produk kraf tangan berupa beg batik komersial yang mendapat permintaan tinggi pelanggan,” katanya ketika ditemui Bernama di Bengkel Beg Batik Ngesong di Kampung Bukit Chenda, Gunong, di sini baru-baru ini.

    Ditanya mengenai maksud beg ngesong, Rozana berkata nama tersebut diilhamkan oleh seorang peserta Che Saharah Che Ya, 49, yang mengendalikan bahagian pengurusan projek tersebut.

    “Song dalam dialek Kelantan bermaksud sesuai atau padan.

    “Di sekitar kawasan Gunong dan Jelawat pula ‘song’ atau ‘ngesong’ mempunyai maksud yang sama, jadi kami pilih beg ngesong sebagai jenama produk kraf tangan ini,” katanya.

    Bercerita lanjut, Rozana yang juga bertindak sebagai pegawai pemasaran beg ngesong berkata mereka menghasilkan lebih 15 beg batik seperti beg duit syiling, pau, beg jinjing, beg fail, beg komputer riba dan beg beli-belah.

    Katanya beg tersebut dijual pada harga bermula RM3 hingga RM95 bergantung kepada jenis dan saiz.

    “Ada tiga bahan utama untuk menghasilkan beg iaitu kain batik, kain alas sama ada kain kapas atau PVC dan juga zip. Kebiasaannya beg boleh disiapkan dalam tempoh sehari bergantung kepada jenis dan saiz.

    “Batik diperoleh daripada usahawan-usahawan di Kelantan, kebiasaannya apabila menerima tempahan beg kita akan berbincang dengan pihak kraf tangan siapa yang akan menjadi pembekal batik,” katanya.

    Menurut Rozana, ketika ini beg ngesong dihasilkan berdasarkan tempahan yang diterima seperti daripada jabatan kerajaan.

    “Sebagai contoh apabila kami terima tempahan 500 beg yang perlu disiapkan dalam tempoh seminggu, kami akan panggil peserta datang ke bengkel ini jadi mereka yang mulakan tugas masing-masing seperti potong batik, gam dan seterusnya menjahit,” katanya.

    Bagi Nor Elina Mat Daud, 40, projek beg ngesong telah merubah kehidupannya apabila kini mempunyai pendapatan sampingan yang lebih baik.

    “Dahulu saya cuma mengambil upah menjahit pakaian tempahan pelanggan, pendapatan ala kadar tetapi sejak menyertai projek beg ngesong ini, alhamdulillah sudah ada pendapatan yang lebih baik, ada duit belanja untuk diri sendiri selain dapat bantu suami,” katanya. – Bernama

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...