Oleh Nurdiyanah R. –
BANDAR SERI BEGAWAN, 10 DIS – Kerjasama antara Universiti Teknologi Brunei (UTB) dan Brunei Darussalam Central Bank (BDCB) mencerminkan komitmen teguh ke arah memajukan ilmu pengetahuan, inovasi dan pembangunan profesional demi manfaat negara.
Melalui inisiatif itu dapat mengimpikan masa depan yang gemilang, di mana projek penyelidikan berimpak tinggi dirintis untuk mengatasi cabaran mendesak serta membuka peluang baharu dalam sektor kewangan dan teknologi.
Dengan mengumpulkan kepakaran dan sumber-sumber, kita menyasarkan untuk menghasilkan pandangan bermakna yang bukan sahaja menyumbang kepada wacana akademik tetapi juga menyokong penggubalan dasar berasaskan bukti.
Sama mustahaknya, pertukaran maklumat dan data untuk penyelidikan dan penerbitan adalah penting dalam mewujudkan asas untuk kerjasama yang bermakna dan memberi impak.
Perkara berkenaan antara yang dijelaskan oleh Pemangku Naib Canselor UTB, Dr Mohamad Saiful bin Haji Omar semasa menyampaikan ucapan alu-aluan oleh pada Majlis Penandatanganan Memorandum Persefahaman (MoU) antara UTB dan BDCB bertempat di Bilik Persidangan Utama, UTB, hari ini.
Tambah beliau lagi, pertukaran sebegini akan membolehkan kita kekal bermaklumat, kekal inovatif dan mempertahankan standard tertinggi dalam kerja kita.
“Platform ini akan memupuk pertukaran idea, mempromosikan dialog mengenai isu-isu baharu muncul dan menyebarkan pengetahuan berharga kepada khalayak yang lebih luas. Kami juga berharap untuk melancarkan inisiatif celik kewangan yang memperkasakan individu dan perniagaan dengan pengetahuan dan kemahiran yang mereka perlukan untuk mengemudi landskap ekonomi yang semakin kompleks,” jelasnya.
Dr Mohamad Saiful turut menyatakan komitmen UTB terhadap pembangunan kapasiti bagi BDCB adalah satu lagi asas perkongsian tersebut. Dengan memanfaatkan kepakaran UTB, mereka berhasrat untuk membangunkan program yang meningkatkan kemahiran dan kecekapan profesional kakitangan BDCB, memastikan mereka kekal di barisan hadapan dalam bidang mereka.
“Perkongsian ini bukan sekadar menandatangani perjanjian; ia adalah tentang menempa laluan untuk pertumbuhan dan pembangunan bersama. Saya yakin usaha gabungan kita akan membuahkan hasil yang transformatif dan menyumbang secara signifikan kepada merealisasikan Wawasan Brunei 2035,” tekannya.
Sementara itu Timbalan Pengarah Urusan (Operasi Monetari/Perkembangan dan Antarabangsa), BDCB, Hajah Noorrafidah binti Sulaiman dalam ucapannya pada majlis berkenaan antaranya mengongsikan bahawa kerjasama antara BDCB dan UTB bukanlah satu inisiatif baharu, malah ia telah berlangsung secara tidak rasmi sejak sekian lama.
Dari segi pembangunan modal insan, jelas beliau, penempatan pelajar UTB dalam program internship di BDCB mewakili kerjasama yang sedia ada. Sejak 2017, seramai 56 orang pelajar termasuk sembilan orang daripadanya pada tahun ini telah ditempatkan di pelbagai bahagian dalam BDCB untuk menjalani latihan industri.
“Kami berharap dengan perkongsian ini, lebih ramai pelajar UTB akan mempertimbangkan penempatan mereka di BDCB. Pasukan kami di sini boleh menyokong bahawa pelajar UTB telah terlibat dalam internship mereka di BDCB. Kami berharap untuk mempunyai lebih daripada itu pada tahun-tahun akan datang,” ujarnya.
Hajah Noorrafidah seterusnya menambah dengan kerjasama berkenaan menunjukkan komitmen dan usaha proaktif kedua-dua pihak BDCB dan UTB dalam menyokong inisiatif Kebawah Duli Yang Maha Mulia Paduka Seri Baginda Sultan dan Yang Di-Pertuan Negara Brunei Darussalam untuk melahirkan dan melatih graduan-graduan yang dilengkapi dengan kelayakan dan kemahiran yang berkaitan serta memastikan daya saing mereka dalam pasaran pekerjaan.
“Baru-baru ini, BDCB telah menganugerahkan satu projek UTB mengenai Financial Inclusion Demand-Side Survey. Projek itu merupakan satu usaha yang penting untuk menjalankan tinjauan permintaan di seluruh negara dan menghasilkan laporan komprehensif mengenai tahap financial inclusion di Negara Brunei Darussalam.
“Laporan ini bertujuan untuk mengukur sejauh mana dan kualiti financial inclusion, mewujudkan pandangan perbandingan dengan tinjauan terdahulu yang dijalankan pada tahun 2020 dan mengenal pasti halangan serta memberikan cadangan untuk menangani jurang sedia ada dalam usaha mencapai financial inclusion yang lebih besar di Negara Brunei Darussalam. Kami berharap untuk menandatangani perjanjian itu tidak lama lagi supaya kami boleh memulakan projek secara rasmi seawal Januari tahun depan,” jelas beliau.
Dengan inisiatif yang telah dijalankan ini, Hajah Noorrafidah antaranya turut berkata beliau dan BDCB meyakini MoU berkenaan akan menjadi platform untuk BDCB dan UTB untuk memanfaatkan lagi pengalaman dan kepakaran masing-masing untuk bekerjasama.
Bukan sahaja terhad kepada bidang kerjasama yang diperuntukkan dalam MoU, seperti penyelidikan bersama, penerbitan bahan penyelidikan, pembinaan kapasiti, pertukaran maklumat dan data, tetapi juga dalam mewujudkan peluang baharu dalam bidang lain yang mempunyai kepentingan bersama.