Saturday, April 20, 2024
23.6 C
Brunei

    -

    UTB lahir graduan serba kompeten

    Oleh Nurdiyamah R.

    Kejayaan menggenggam ijazah bukanlah sesuatu perkara yang mudah dicapai, setelah beberapa tahun menabur usaha dan ada kalanya berteman dengan air mata.

    Namun demi meneruskan impian dan cita-cita, insan-insan ini terus melangkah dengan berbekal semangat positif diiringi dengan ketulusan kedua orang tua yang tidak putus-putus mendoakan kejayaan anak-anak mereka selama ini.

    Begitulah perasaan yang pastinya terselit dalam setiap jiwa para graduan pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) yang ke-10, berlangsung di Dewan Plenari, Pusat Persidangan Antarabangsa (ICC), Berakas, di mana tempat lakaran sejarah bagi para graduan UTB yang menerima ijazah mereka pada detik 5 September ini.

    “Pastinya kemahiran yang diperoleh selama ini memiliki manfaat yang tersendiri lebih-lebih lagi ia yang boleh diaplikasikan ke bidang perubatan dan rawatan dalaman yang berkaitan dengan sistem aliran darah dalam badan menerusi satu penyelidikan saya berjudul Non-Newtonian Fluid Models for Blood Flow Analysis Under Abnormal Rheological States.

    “Proses pengajian selama empat tahun ini sememangnya banyak mengajar diri ini erti kesungguhan yang sebenar demi mencapai impian selama ini. Setiap proses itu memiliki pasang surutnya namun saya bersyukur dengan izin Allah SWT jualah disertai dengan doa-doa orang tua saya, ahli keluarga, para pensyarah dan rakan-rakan seperjuangan, saya mampu menyelesaikan dan menggapai semua ini dengan jayanya,” itulah antara luahan tulus daripada salah seorang penerima Ijazah Doktor Falsafah dalam jurusan Applied Mathematics and Economics, Dr Siti Nur Afiqah Wajihah Syahindah binti Haji Marali semasa ditemui penulis.

    Dr Siti Nur Afiqah Wajihah Syahindah ketika ditemui penulis pada majlis berkenaan.
    Dayangku Siti Nur Diyana @ Dayangku Siti Raudhah memanjatkan rasa syukur kerana menamatkan pengajian dengan jayanya sekali gus memenuhi hasrat kedua ibu bapanya.
    Awang Ruhaezeat selaku penerima Ijazah Sarjana dalam Jurusan Kejuruteraan Saluran Air dan Alam Sekitar secara kursus.
    Hajah Wafiqah berharap memperoleh kerjaya yang bersesuaian sekali gus bersama menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara.
    Para graduan bergambar bersama sijil mereka pada Majlis Konvokesyen Universiti Teknologi Brunei (UTB) ke-10 di Dewan Plenari, ICC, Berakas, kelmarin. – Gambar oleh Muiz Matdani

    Pentingnya pengurusan masa
    Seorang lagi graduan, Dayangku Siti Nur Diyana @ Dayangku Siti Raudhah binti Pengiran Shahminan selaku penerima Ijazah Sarjana dalam Pengurusan dan Teknologi, di bawah Fakulti Sekolah Perdagangan, juga memanjatkan rasa syukur kerana menamatkan pengajian dengan jayanya sekali gus memenuhi hasrat kedua-dua ibu bapanya.

    “Dengan meniti pengajian ini, apa yang dapat saya katakan bahawa ia telah menyemai ilmu pengetahuan dan kemahiran yang berkisar tentang kepimpinan, perakaunan, sains data dalam perdagangan yang sememangnya amat berguna pada masa kini.

    “Pembelajaran di universiti adalah pengalaman sekali dalam seumur hidup sebelum kita menjejaki alam pekerjaan yang sebenar.

    “Hidupkan setiap detik proses pengajian itu bersama rakan-rakan seperjuangan untuk kita sama-sama mewujudkan suasana positif di samping sentiasa menitikberatkan kesihatan secara menyeluruh baik dari segi mental mahu pun fizikal.

    “Pengurusan masa itu sangat mustahak antara keluarga dan tugasan yang kita lakukan demi menggapai kejayaan yang sebenar,” ujarnya dengan penuh keyakinan yang kini sudah memperoleh pekerjaan sebagai application maintenance analyst di Dynamik Technologies.

    Kesedaran rawatan cecair daripada sisa sampah
    Menceburi pengajian ilmu dan kemahiran yang menjurus kepada pembangunan struktur-struktur dalam penambahbaikan atau pengubahsuaian bangunan-bangunan lama, saluran air dan sebagainya, dihasrat bagi sama-sama membantu pihak kerajaan dan swasta mahu pun persendirian suatu hari nanti, itulah pencapaian hasil penyelidikan yang diketengahkan oleh Awang Ruhaezeat bin Haji Sambas selaku penerima Ijazah Sarjana dalam Jurusan Kejuruteraan Saluran Air dan Alam Sekitar, Fakulti Kejuruteraan Awam secara kursus.

    Beliau yang menghabiskan tempoh pengajiannya dalam masa setahun itu menambah bahawa adapun penyelidikan utama yang berjaya diketengahkan ialah berjudul Sanitary Landfill Leachate Using Chemical Oxidation yang berkaitan dengan rawatan cecair yang dihasilkan daripada sisa-sisa sampah secara pengoksidaan kimia dan ianya adalah penting bagi mengurangkan proses rawatan yang telah digunakan pada masa ini dari segi penggunaan elektrik dan juga pencemaran udara.

    Hal ini juga akan dapat membantu dalam merawat cecair secara efektif dengan menggunakan bahan kimia.

    “Dengan mendapat kepujian cemerlang ini, ianya membuatkan hasil titik peluh saya lebih bermakna dan saya amat bersyukur atas rezeki Allah SWT ini.

    “Di samping itu, saya juga ingin membuktikan kepada generasi-generasi yang akan datang terutama kepada mahasiswa dan mahasiswi supaya berani untuk tampil ke hadapan, dan juga sebagai bekalan semangat kepada adik-beradik saya sendiri bahawa suatu keberhasilan atau kejayaan memerlukan doa, usaha, ikhtiar dan tawakal,” ucapnya tulus.

    Di sebalik kesulitan itu ada kemudahan menanti
    Sementara itu, selaku penerima Ijazah Sarjana Muda Sains dalam Sains Makanan dan Teknologi di bawah School of Applied Science and Mathematics, Hajah Wafiqah binti Haji Daim turut berkongsi bahawa adapun cabaran yang dihadapinya lebih ketara semasa musim pandemik COVID melanda negara ketika sesi pembelajaran bersemuka beralih kepada dalam talian.

    “Pastinya, semuanya harus dijalani dengan hati yang teguh dan ikhlas. Keadaan sekeliling yang merangkumi tenaga pelajar, rakan sebaya, yang sentiasa sedia untuk memberi alternatif dalam membantu pembelajaran saya dalam normal baharu ini.

    “Oleh itu, kejayaan saya ini tidak akan tercapai jika saya bertarung bersendirian tanpa sokongan daripada sekeliling. Hidup sebagai pelajar adalah sangat mencabar dan dugaan akan sentiasa ada di dunia pembelajaran. Akan tetapi, percayalah kepada Allah SWT sesungguhnya bersama kesulitan ada kemudahan.

    “Jangan mudah berputus asa dan sentiasa memandang ke hadapan walaupun ditimpa kegagalan kerana pada akhirnya, semuanya akan berbaloi.

    “Saya percaya bahawa kita semua merancang tetapi Allah adalah sebaik-baik perancang,” ucapnya tulus.

    Ujarnya di akhir pertemuan, dengan adanya ilmu pengetahuan yang diperoleh selama ini, adalah menjadi harapan diri beliau dan rakan-rakan seperjuangan yang lain untuk memperoleh kerjaya yang bersesuaian sekali gus bersama menyumbang bakti kepada agama, bangsa dan negara.

    - Advertisment -

    Disyorkan Untuk Awda

    5 pekerja jadi sasaran serangan nekad

    KARACHI, 19 APRIL - Seorang pengebom nekad meletupkan jaketnya yang sarat dengan bahan letupan berhampiran sebuah van yang membawa pekerja kereta warga Jepun, yang...