Wednesday, February 5, 2025
27.7 C
Brunei

    Berita Terkini

    ‘Venice Afrika’ berjuang untuk terus bertahan

    LAGOS – Nama julukannya ialah ‘Venice Afrika’, selain mempunyai jalan laluan perairan bot-bot kayu yang begitu sempit, Makoko menawarkan sedikit kesamaan dengan bandar terusan Eropah.

    Makoko, adalah sebuah kawasan pemandangan alam sekitar yang menyakitkan mata. Ia juga sebuah kawasan yang begitu padat dengan binaan teratak yang didirikan di lagun payau kotor dan tercemar di tengah-tengah Lagos, megapolis terbesar di Afrika.

    Masyarakat mula menduduki kawasan tersebut pada abad ke-19 sebagai sebuah perkampungan nelayan buat pendatang, yang telah menetap di tepi-tepi kawasan perairan.

    Apabila lebih ramai tiba ke sana dan kawasan tanah sukar untuk diperolehi, warga cuba beralih keluar ke kawasan perairan. Dari masa ke masa, Makoko telah menjadi kawasan terapung yang dihuni oleh suku juta orang.

    Di sini, ia menjadi sebuah kawasan yang hidup, menentang kekurangan sanitasi, sampah-sarap dipadatkan dan airnya dalam keadaan berminyak dan berbau. Gereja dan klinik impromptu turut didirikan di sana.

    Seorang lelaki kelihatan berada di kawasan kilang papan di Ebute Metta. – AFP
    Bekas penduduk Otodo Gbame telah mengadakan protes baru-baru ini atas pengusiran mereka. – AFP

    Kini, Makoko dan lagun-lagun lainnya telah menghadapi ancaman: pemulihan atau penjanaan semula bandar di sebuah bandar raya yang mempunyai 20 juta penduduk yang menginginkan kawasan tanah.

    Pada tahun 2016, gabenor negeri Lagos, Akinwunmi Ambode, bersumpah untuk mengosongkan kawasan melarat di seluruh kawasan dermaga, mempunyai kira-kira 300,000 penduduk, menurut Nigerian Slum/Informal Settlement Association.

    Beberapa bulan kemudian, 30,000 orang telah kehilangan tempat tinggal mereka apabila salah satu kawasan sesak, Otodo Gbame, sebuah kawasan masyarakat nelayan miskin yang berada dekat dengan daerah tenggara Lekki, telah dimusnahkan.

    Tiga hari kemudian, daerah itu diranapkan dan diratakan dengan jentolak, mengurangkan puluhan ribu rumah dengan timbunan kayu dan besi-besi. Sekurang-kurangnya tiga orang mati apabila polis bersenjata bertindak dengan menggunakan jentolak, membakar kawasan itu dan mengejar beberapa penduduk ke lagun berhampiran, kata penduduk setempat.

    Baru-baru ini, kira-kira seratus orang berkumpul untuk menentang pengusiran mereka. Bekas penduduk mengatakan bahawa mereka masih belum menerima apa-apa bantuan atau penempatan semula yang dijanjikan oleh pihak berkuasa.

    Kebanyakan dari suku etnik Egun mengatakan bahawa mereka telah tinggal di Lagos selama lebih dari satu abad.

    Tetapi seperti sebahagian besar golongan miskin di bandar raya itu, mereka tidak mempunyai hak untuk membuktikannya.

    Sekitar suku juta orang tinggal di Makoko, dipercayai sebagai komuniti terapung terbesar di dunia. – AFP
    Pada tahun 1990, pihak berkuasa telah meranapkan Maroko, sebuah bandar yang sempit di pinggir bandar Victoria Island, yang memaksa kira-kira 300,000 penduduk dihalau dari rumah-rumah mereka. – AFP

    “Ayah saya pernah menjadi nelayan, saya pernah menjadi nelayan, tetapi mereka telah memusnahkan bot saya,” kata Isaac Azin, berusia 36 tahun. “Saya kini tinggal di Oreta (masyarakat lain), tetapi warga tidak mahu menerima kami di sana. Mereka mempunyai masalah mereka sendiri.”

    Di kawasan kejiranan tepi pantai, Ebute Metta, penduduk tempatan berasa marah dengan apa yang berlaku pada 28 Disember tahun lepas. Kilang papan tidak rasmi telah dimusnahkan, kata mereka, oleh polis dan apa yang dipanggil sebagai ‘geng kawasan’, sekumpulan geng yang ditugaskan untuk mengosongkan kawasan tersebut.

    “Encik James,” seorang lelaki berusia 50-an mengeluh bahawa dia telah kehilangan bengkel dan juga penjana yang pernah digunakannya.

    “Orang kaya dan berada, mereka tidak mahu orang miskin wujud di Nigeria,” katanya.

    Dalam komuniti yang tinggal di sekitar lagun, kehidupan adalah begitu sukar. Warga cuba untuk meneruskan kehidupan dengan menangkap ikan, melakukan kerja-kerja mengangkut kayu dan mengorek sungai, menggunakan baldi untuk mengangkut pasir dari dasar laut di pantai Lagos, yang kemudiannya dijual kepada industri pembinaan.

    Tetapi Lagos mempunyai sejarah di mana seluruh kawasan kejiranan dimusnahkan. Pada tahun 1990, pihak berkuasa telah meranapkan Maroko, sebuah bandar yang sempit di pinggir bandar Victoria Island, yang memaksa kira-kira 300,000 penduduk dihalau dari rumah-rumah mereka.

    Kini tempat itu telah didirikan dengan sebuah pusat membeli-belah Afrika Selatan yang begitu popular, dengan mempunyai kedai-kedai rangkaian antarabangsa yang memenuhi kehidupan elit Lagos. – AFP

    - Advertisment -

    Berita Berkaitan

    Disyorkan Untuk Awda